Berita Utama

Timbalan menteri nafi harga sayur naik 200 peratus seperti didakwa

'Hasil siasatan bila kita tanya di mana ia berlaku, tidak ada'

KUALA LUMPUR, 20 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Hasil siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati harga sayur dikatakan meningkat hingga 200 peratus tidak berlaku seperti didakwa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Selasa lepas.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, hasil siasatan pegawai penguat kuasa kementerian turut mendapati persatuan itu tidak dapat menentukan lokasi berlaku kenaikan harga itu.

“(Mengenai) harga sayur yang dikatakan hingga 200 peratus kenaikan, tetapi hasil siasatan kita mendapati bahawa bila kita tanya di mana ia berlaku, tidak ada.

“…bila pegawai penguat kuasa kita ke lapangan untuk melihat dan meninjau apa yang dimaklumkam, jadi bila tanya CAP mereka tidak boleh tentukan di mana, cuma mereka kata hanya cakap-cakap,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun Rosol berkata, kajian daripada pegawai-pegawai penguat kuasa KPDNHEP mendapati memang berlaku kenaikan harga sayur tetapi tidak setinggi didakwa.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen ketika sesi perbahasan membangkitkan isu mengenai kenaikan harga barang seperti sayur dan roti yang dikatakan begitu tinggi sehingga memberi kesan kepada rakyat.

Sehubungan itu, Rosol menyeru rakyat supaya memaklumkan kepada saluran KPDNHEP seperti di portal e-Aduan sekiranya mendapati berlaku kenaikan harga barang yang mendadak supaya pegawai penguat kuasa dapat memantau dan mengambil tindakan secepat mungkin.

Mengenai isu kenaikan harga roti oleh syarikat pengeluar roti terkemuka negara pada 1 Dis ini, beliau berkata kementerian akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti perkara itu.

“… sehingga hari ini, ia (syarikat pengeluar roti itu) tidak memaklumkan kepada kementerian untuk menaikkan harga (roti),” katanya.

Seramai 17 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan, pembangkang dan Bebas mengambil bahagian dalam sesi perbahasan itu.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM1,094,676,700 yang diperuntuk kepada KPDNHEP dalam Bajet 2022 dengan lebih suara menyokong.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button