Berita Utama

UMK diiktiraf Universiti Keusahawanan

Rancang dedahkan mahasiswa bidang perniagaan bersifat inovatif dan teknologi

BACHOK, 20 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjadi universiti awam pertama di negara ini mendapat akreditasi antarabangsa sebagai universiti keusahawanan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMK, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata pengiktirafan berkenaan diberikan oleh Accreditation Council for Entrepreneurial and Engaged Universities (ACEEU) secara rasmi pada 23 November lepas.

“UMK lulus kesemua 15 aspek yang menjadi ukuran penilaian bagi mendapat pengiktirafan sebagai universiti keusahawanan termasuk tiga daripada aspek ini berjaya diperoleh dengan cemerlang iaitu ekosistem, kepimpinan dan pendidikan. 

“Kita menyasarkan UMK meraih pengiktirafan ini pada 2023, namun berkat usaha semua pihak kita dapat capai kejayaan ini lebih awal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Istiadat Konvokesyen UMK kali ke 10 dan 11 di Kampus Bachok, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pro Canselor II UMK, Tan Sri Dr Asiah Abu Samah.

Mengulas lanjut, Nik Maheran berkata, bagi memantapkan lagi kebolehpasaran pelajar UMK khususnya dalam bidang keusahawanan, pihaknya merancang mendedahkan mereka dalam bidang perniagaan bersifat inovatif dan teknologi.

“Kajian-kajian yang dihasilkan oleh pelajar pada semester akhir akan dijadikan sebagai perniagaan sebenar iaitu dengan mengkomersialkan produk kajian berkenaan.

“Selain itu, kita berhasrat untuk mempunyai kilang berkonsep industri di dalam kampus bagi memproses produk-produk yang bukan sahaja bagi kegunaan pelajar UMK, bahkan memberi manfaat kepada komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata, sejak penubuhan UMK pada 2006, lebih 4,000 siswazah atau purata 300 siswazah setahun berjaya bergelar usahawan.

“Mengikut ketetapan sasaran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), sekurang-kurangnya empat peratus pelajar yang tamat pengajian memperoleh pekerjaan sebagai usahawan, namun UMK mampu mencapai angka sehingga hampir 15 peratus setiap tahun,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button