Berita Utama

Kluster Tawar, PUI Sivagangga mungkin dari sumber sama

Hasil ujian sampel dapati 2 kluster datang dari 'clade' sama

PUTRAJAYA, 8 Muharram 1442H, Khamis – Kluster Tawar dan Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga kemungkinan besar daripada sumber yang sama, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata empat sampel daripada virus Kluster Tawar telah dibandingkan dengan tiga sampel Kluster PUI Sivagangga, dan hasil menunjukkan bahawa ketujuh-tujuh virus itu daripada ‘clade’ yang sama.

“Ini mencadangkan bahawa Kluster Tawar dan Kluster PUI Sivagangga kemungkinan besar daripada sumber yang sama. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya pada sidang media berhubung perkembangan terkini COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebelum ini, kajian virologi terhadap Kluster Tawar telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah mengambil kira peningkatan kes yang mendadak sehingga melibatkan daerah dan negeri lain.

Beliau berkata sebanyak 14 sampel diambil bagi tujuan ‘full genome sequencing’ atau susunan genom menyeluruh dan empat sampel berjaya mendapat virus untuk kajian susunan itu, dan didapati virus tersebut mempunyai mutasi D614G.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini, Kluster Tawar mencatat 73 kes positif dan seramai 4,521 orang telah disaring dalam kluster tersebut di Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Beliau berkata selain daripada aktiviti kesihatan awam seperti pengesanan aktif kes dan kontak untuk membendung penularan jangkitan COVID-19, penilaian risiko bagi Kluster Tawar telah dijalankan dan mendapati taburan kes positif COVID-19 tidak tertumpu hanya di suatu lokaliti.

Selain itu, penularan juga dilaporkan berlaku daripada kes asymptomatic atau tidak bergejala, virus D614G sama dengan virus Kluster PUI Sivagangga, kawasan penempatan agak padat, banyak pergerakan penduduk di dalam dan di antara daerah serta liputan saringan penduduk yang masih rendah kadar positif iaitu lebih daripada satu peratus, katanya.

“Oleh itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dilaksanakan di tiga zon di Aman Jaya, Kedah iaitu Kenanga, Mawar dan Melur berkuat kuasa jam 12.01 malam, 28 Ogos sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan,” kata Dr Noor Hisham. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button