Berita Utama

29 kampung Melayu di Pulau Pinang ‘dihapuskan’ sepanjang sejarah

Sejauh mana aras kemajuan negara lihat status orang Melayu sebagai bangsa asal

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 21 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – “Orang Melayu bukan menentang kemajuan, bukan juga menentang pembandaran, kerana hakikatnya orang Melayu Pulau Pinang sudahpun maju sebelum Francis Light datang.

“Tanjung Penaga sudahpun maju menjadi bandar sebelum Georgetown diwujudkan, jadi konsep bandar dan orang Melayu tidak asing.

“Tetapi persoalannya sejauh mana aras kemajuan di negara ini melihat kembali kepada status orang Melayu sebagai bangsa asal di negara ini, berkait rapat dengan aras kemajuan.”

Demikian kata Ketua Penyelidik IRIS, Nur Hanis Mohamad Noor dalam Dimensi di TV Pertiwi bertajuk Pulau Pinang bakal jadi Singapura ke-2? malam tadi.

Berdasarkan dapatan kajian, Hanis berkata, sekurang-kurangnya 29 buah kampung Melayu sudah dihapuskan sepanjang sejarah sehingga kini.

Katanya, modem yang sama seperti di Singapura pada tahun 1995, Parti Tindakan Rakyat (PAP) membina satu lembaga dinamakan Housing Development Board (HBD).

Menurutnya, polisi perumahan di Singapura tidak membenarkan mana-mana kaum mendominasi satu kawasan.

“Kampung Melayu diambil tanahnya oleh kerajaan di bawah HDB dan diberikan tender kepada pemaju-pemaju swasta. Kemudian apabila terbinanya flat atau kondominium, tidak dibenarkan satu kaum apatah lagi orang Melayu untuk mendominasi satu kawasan.

“Jadi orang Melayu tiada satu komuniti yang mengamalkan kemasyarakatan Melayu dan Islam.

“Dan di Pulau Pinang, kejadian yang sama juga, 29 buah kampung Melayu dihapuskan, diambil alih dan dimajukan tetapi tidak membela pemilikan tanah orang Melayu,” katanya.

Katanya lagi, kajian data pada tahun 2003 menunjukkan tanah wakaf Islam di Georgetown berukuran 398 ribu kaki persegi tetapi jika dibandingkan tanah gereja keluasannya dua juta kaki persegi.

“Jadi di manakah hak pemilikan atau status pegangan orang Melayu di Pulau Pinang, Singapura bahkan bandaraya-bandaraya lain di Malaysia ini disama ertikan dengan aras kemajuan negara kita,” soalnya.

Pautan Dimensi:
https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/936433117284624/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button