Berita UtamaDunia

Bapa parah, anak 10 tahun trauma diserang peneroka haram Israel

Serangan paling teruk sasar penduduk Palestin

TEBING BARAT, 21 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Peneroka haram Israel menyerang kenderaan dinaiki warga Palestin berhampiran perkampungan al-Mughyyer, timur laut Ramallah.

Raed al-Kharraz, 44, dipukul sehingga mengalami keretakan dan pendarahan dalaman yang teruk di kepala malahan giginya turut patah.

Sementara anak lelaki Raed juga tidak terkecuali menerima serangan itu.

Badan Muhammad yang berusia 10 tahun dipenuhi lebam bahkan kanak-kanak itu masih mengalami ketakutan dan kebimbangan selepas kejadian tersebut.

Middle East Eye yang memetik aktivis antipenempatan sebagai berkata, serangan itu – antara yang paling teruk dilakukan oleh peneroka di Tebing Barat yang diduduki pada bulan lalu – telah direncanakan, dengan penduduk Palestin sengaja disasarkan.

Serangan berkenaan satu daripada lima yang dilakukan oleh peneroka dalam tempoh kurang 24 jam, di Nablus, Ramallah, Hebron dan kampung berjiranan mereka.

Keganasan itu berbeza-beza dari segi intensiti, daripada menghalang jalan raya, membaling batu pada kenderaan dan membakarnya, kepada menyembur slogan anti-Arab serta menyerang penduduk di rumah mereka – seperti kes di kampung Burqa di Nablus dan al-Mughyyer di Ramallah.

Peneroka melakukan serangan di jalan pintasan, persimpangan dan berhampiran pintu masuk penempatan.

Peningkatan serangan itu susulan kematian seorang anggota tentera Israel baru-baru ini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button