Berita Utama

KKM kemas kini polisi lawatan di hospital

2 pelawat dibenarkan untuk pesakit tenat bukan COVID-19 di wad

BANGI, 21 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Kementerian Kesihatan (KKM) membenarkan lawatan keluarga terhad kepada dua orang bergantung kepada keadaan bagi pesakit bukan COVID-19 yang sedang tenat dan berada di wad.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kebenaran itu tertakluk dalam polisi lawatan untuk penjaga dan pelawat di hospital KKM yang telah dikemas kini selari perkembangan semasa COVID-19.

Beliau berkata, hanya beberapa kategori pesakit yang boleh ditemani oleh penjaga atau melawat pesakit.

Ini termasuk pesakit yang menghidap penyakit kritikal, memerlukan penjagaan palliatif, pesakit kurang upaya, pesakit yang tenat, pesakit warga emas, pesakit yang memerlukan bantuan komunikasi, pesakit kanak-kanak dan ibu di dalam proses bersalin.

Katanya, pelawat atau penjaga yang dibenarkan mestilah berumur 18 tahun ke atas, lengkap vaksinasi COVID-19 dan tidak tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi.

Selain itu, mereka juga tidak disyaki menghadapi COVID-19 atau individu dalam pemantauan, tiada gejala COVID-19, mengisi borang deklarasi COVID-19 serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memakai alat pelindung diri (PPE) seperti yang ditetapkan.

“Manakala bagi penjaga pula, mereka perlu menjalani ujian saringan COVID-19 iaitu RT-PCR atau RTK Antigen (dalam masa 72 jam sebelum masuk ke hospital) dan disahkan negatif.

“Individu yang ingin menemani ibu mengandung semasa proses bersalin hendaklah menjalani ujian saringan COVID-19 iaitu RT-PCR atau RTK Antigen (dalam masa 72 jam sebelum masuk ke hospital) atau RTK Antigen Saliva (semasa ketibaan di hospital) dan disahkan negatif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairy berkata, bagi pesakit yang menerima rawatan pesakit luar atau Jabatan Kecemasan, hanya seorang penjaga sahaja dibenarkan.

“Sekiranya pesakit dimasukkan ke wad bukan COVID-19, seorang penjaga dibenarkan untuk menenami pesakit dan seorang pelawat dibenarkan sepanjang sesi lawatan.

“Ini terhad kepada kategori pesakit yang telah dinyatakan. Ujian COVID-19 menggunakan RT-AG Saliva adalah digalakkan sebelum lawatan,” katanya.

Bagaimanapun, tiada pelawat dibenarkan bagi pesakit COVID-19, kecuali pesakit yang sedang tenat sama ada di wad atau Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana seorang pelawat sahaja dibenarkan pada satu-satu masa, katanya.

“Bagi tujuan menemani pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke wad, hanya seorang penjaga sahaja dibenarkan untuk menemani pesakit.

“Ini terhad kepada pesakit kanak-kanak atau pesakit yang memerlukan bantuan penjagaan khusus,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button