Berita Utama

Mohd Rafiq letak jawatan Pengerusi PN Melaka

Beri peluang kepimpinan baharu ketuai Bersatu, PN Melaka untuk persiapan PRU15

MELAKA, 21 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Beliau berkata, peletakan jawatan itu bagi memberi peluang kepada kepimpinan baharu untuk mengetuai Bersatu Melaka dan PN Melaka supaya mempunyai masa mencukupi bagi membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) . 

“Surat rasmi peletakan jawatan saya akan diserahkan kepada Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.

“Peletakan jawatan ini juga bagi membolehkan saya memberi fokus memperkukuh kedudukan dan sokongan rakyat terhadap PN Parlimen Tangga Batu dan Bersatu Bahagian Tangga Batu serta memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tanggungjawab saya sebagai Naib Presiden Bersatu menjelang PRU15,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau turut memohon maaf atas segala kekhilafan sepanjang menjalankan tugas sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri. 

“Saya berharap dan berdoa agar rakyat dapat terus memberikan sokongan dan semoga PN akan mencapai kejayaan cemerlang pada PRU15,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri Melaka 20 Nov lepas, Mohd Rafiq yang berdepan saingan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri Telok Mas tewas kepada calon Barisan Nasional Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dengan majoriti 2,076 undi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button