Berita Utama

SIRIM, Turkish Aerospace kerjasama bangunkan ekosistem aeroangkasa

Mempercepatkan penggunaan mana-mana teknologi termaju

ANKARA, 21 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Sirim Berhad dan Turkish Aerospace pada Khamis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bertujuan mewujudkan kerjasama dalam membangunkan ekosistem Industri Aeroangkasa.

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam bidang yang berkaitan dengan pernilaian pematuhan, pembangunan kualiti dan standard, pembangunan penyelidikan dan inovasi teknologi baharu untuk industri aeroangkasa, lapor Agensi Anadolu yang memetik kenyataan bersama kedua-dua pihak.

SIRIM Berhad adalah sebuah organisasi korporat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia, di bawah syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, MoU itu juga akan membolehkan kedua-dua pihak mempercepat penggunaan mana-mana teknologi termaju berkaitan Aeroangkasa seperti Drone atau Pesawat Udara Tanpa Pemandu.

“SIRIM dan Turkish Aerospace juga berharap untuk membangunkan rangka kerja perniagaan teknologi strategik Antarabangsa yang berkaitan dengan industri aeroangkasa dan mengenal pasti penyelesaian keseluruhan bagi pelaksanaan projek Pembuatan Pintar Industri 4.0,” katanya memetik kata Ahmad Sabirin.

Presiden Aeroangkasa Turki Temel Kotil juga berkata: “Dengan perkembangan ini, kami menyasarkan untuk menyumbang kepada industri aeroangkasa Malaysia dengan beberapa projek bersama yang akan turut memanfaatkan kedua-dua pihak.”

Turkish Aerospace akan terus menyumbang kepada keupayaan kedua-dua negara dalam bidang aeroangkasa dan industri pertahanan, tambahnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button