Berita Utama

Syor Bumiputera DAP, cadangan memalukan dari mentaliti pendatang

Bagaimana nak jadi Indonesia kalau masih tolak sistem satu sekolah?

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 21 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Tiada mana-mana negara di dalam dunia yang sanggup mencemarkan konsep anak watan dalam sistem negara bangsa dengan memberi status Bumiputera kepada golongan pendatang.

Justeru, tiada sebab untuk mana-mana pihak memenuhi cadangan ‘mengarut’ Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming sebelum ini – kononya semua rakyat yang lahir pada awal 31 Ogos 1957 boleh menikmati status Bumiputera.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC-IIUM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, cadangan Kor Ming itu bukan hanya bersifat bacul, malah dianggap sebagai cadangan memalukan daripada mentaliti pendatang.

Terdahulu, kenyataan Kor Ming teruk dikecam selepas meminta kerajaan menggubal dasar perpaduan negara baharu tanpa perlu membezakan rakyat dengan warna kulit.

Menurut bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu, Indonesia telah lama menghapuskan perbezaan Bumiputera dan bukan Bumiputera, selain mendakwa kononnya politik kaum adalah penghalang terbesar kepada perpaduan serta kemajuan negara.

Menyelar cadangan berkenaan, Prof Ahmad Murad menyifatkan kenyataan Kor Ming yang membezakan antara Indonesia dan Malaysia adalah tidak logik, memandangkan kedua-dua negara itu mengamalkan dasar yang berbeza.

“Di Indonesia tiada sekolah vernakular Cina dan mereka mengamalkan proses asimilasi, sedangkan tidak di Malaysia yang mengamalkan dasar perpaduan dan integrasi.

“Jika mereka (pendatang) setuju dengan dasar asimilasi dan sistem satu sekolah, maka (cadangan) ini akan terjadi dengan sendiri tanpa perlu ada satu dasar formal untuk mengiktiraf semua yang lahir selepas merdeka itu sebagai Bumiputera,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Berbeza dengan Malaysia, beliau berkata, kaum Cina dan India di negara ini enggan menerima dasar integrasi, malah ada yang tidak mahu bertutur bahasa Melayu.

“Cuba tengok Sekolah Wawasan yang diwujudkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memperkukuhkan integrasi tetapi ditolak oleh Dong Zong. Bagaimana nak asimilasi?

“Mereka sendiri yang menolak sistem satu sekolah dan tidak mahu berasimilasi serta mempunyai masalah menerima dasar kebudayaan kebangsaan,” katanya.

Menurutnya, perkara itu sudah jelas menunjukkan penolakan golongan pendatang terhadap negara Malaysia dan konsep penyatuan dalam negara bangsa.

“Tak malu ke? Inilah cadangan yang memalukan datang daripada mentaliti pendatang. Kita kena tegas kerana tidak tegaslah mereka berucap sebegini.

“Apa sahaja kenyataan akan mempengaruhi penduduk negara dan akan jadi isu untuk mencetuskan tuntutan-tuntutan lain. Kalau masih mentaliti pendatang, janganlah tuntut apa lagi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button