Berita Utama

IDEAS sokong GST dikembalikan

Namun perlu kajian mendalam sebelum dilaksanakan

KUALA LUMPUR, 3 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyokong kemungkinan pengenalan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam waktu terdekat berikutan ia boleh mengembangkan sumber hasil kerajaan dengan berkesan dan menjadi sebahagian daripada pakej penyatuan fiskal.

Bagaimanapun, badan pemikir itu meminta kajian yang mendalam perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi mengenal pasti kadar GST yang munasabah dan bagaimana dasar itu memberi kesan khusus kepada isi rumah yang kurang berkemampuan.

IDEAS berkata kerajaan baru-baru ini memberi bayangan kemungkinan untuk mengembalikan GST dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu dan menjelang pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada 7 Okt.

Ia turut menyatakan bahawa Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) global 2022 daripada 3.6 peratus kepada 3.2 peratus manakala bagi 2023, pertumbuhan dianggarkan pada 2.9 peratus.

Sebagai negara ekonomi yang kecil dan terbuka, Malaysia harus bersiap sedia menghadapi kesan kemungkinan kemelesetan global, kerana kebanyakan negara ekonomi utama telah memperkenalkan dasar pengetatan monetari yang agresif untuk mengekang inflasi, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Tricia Yeoh menunjukkan bahawa kutipan GST akan membolehkan kerajaan memperluaskan sumber hasilnya dalam tempoh yang segera, di tengah-tengah defisit belanjawan yang meluas dan kemelesetan global yang semakin hampir.

“Terdapat konsensus bahawa ada ruang untuk penambahbaikan bagi asas cukai domestik diperluaskan di Malaysia, memandangkan hanya kira-kira 55 peratus hasil kerajaan secara purata datang daripada cukai langsung dari 2011 hingga 2020.

“Membandingkan kutipan antara GST dan SST, pada 2017 GST mewakili kira-kira 23 peratus daripada hasil kerajaan, manakala SST hanya berjumlah sehingga 14 peratus daripada jumlah hasil kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

IDEAS juga menekankan bahawa jika kadar GST diperkenalkan pada kadar permulaan yang tinggi, ini mungkin menjejaskan lagi permintaan dalam ekonomi meleset tahun depan, yang mempunyai kesan negatif berpanjangan kepada ekonomi domestik. Sebaliknya, jika kadar yang diperkenalkan terlalu rendah, ia mungkin tidak memberikan kesan ketara kepada penambahan pendapatan kerajaan sedia ada.

Pengarah penyelidikan Juita Mohamad mengulas bahawa dalam persediaan kemungkinan pengenalan semula GST, sistem perlindungan sosial yang terancang perlu dilaksanakan secara serentak.

“Kajian mendalam yang kami cadangkan juga harus merangkumi kesan kemungkinan pengenalan semula GST terhadap isi rumah yang kurang berkemampuan.

“Ini adalah supaya pelan perlindungan sosial sedia ada, seperti program pemindahan tunai, skim pencen dan dasar pasaran buruh yang aktif dapat diperkukuh dan disasarkan dalam tempoh segera,” katanya.

Kajian 2020 oleh Bank Negara Malaysia menekankan bahawa wabak itu telah menjelaskan isu struktur asas yang berkaitan dengan rangka kerja perlindungan sosial sedia ada di Malaysia.

Isu-isu ini termasuk program yang berpecah-pecah dan bertindih, jurang dalam liputan umum, cabaran fiskal serta ketidakcukupan program dalam menangani kelemahan sosio-ekonomi.

Dengan menangani jurang dasar ini dengan pantas, IDEAS berkata ia akan membolehkan kerajaan melindungi rakyat dengan menggunakan sumber hasilnya dengan cekap, terutamanya semasa krisis.

Yeoh berkata selain daripada mengembangkan asas fiskal untuk kemampanan jangka panjang, kerajaan juga mesti menunjukkan komitmennya terhadap tanggungjawab fiskal yang lebih besar dan pematuhan kepada kawalan tadbir urus yang ketat melalui penggubalan Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perolehan Kerajaan.

“Dengan adanya undang-undang ini, serta jaminan kebebasan institusi, langkah sedemikian akan memastikan disiplin fiskal yang betul, yang diperlukan oleh Malaysia hari ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button