Berita Utama

Tak diperlukan lagi, bubar saja MN gesa veteran UMNO

Elak polemik panjang, salah tafsir dalam kalangan ahli parti

BANGI, 21 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Lebih baik Muafakat Nasional (MN) dibubarkan bagi mengelakkan polemik berpanjangan dengan PAS, gesa Kelab Veteran UMNO.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, sekiranya status MN dibiarkan tergantung, maka akan berlaku tuduh menuduh dan salah menyalah antara kedua-dua buah parti.

Apatah lagi, masing-masing telah membuat keputusan muktamad apabila UMNO menolak Perikatan Nasional (PN) dan PAS memilih gabungan itu, katanya.

“Oleh itu, lebih baik dibuat keputusan muktamad dengan membubarkannya. Habis cerita dan tutup buku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mustapha, MN juga tidak mempunyai ikatan berdaftar dan menyifatkannya sebagai satu gagasan yang gagal serta tidak diperlukan lagi.

Katanya, jika MN dibubarkan, UMNO dan PAS tidak perlu bersusah untuk menjaga hati masing-masing.

“Biarlah masing-masing meneruskan perjuangan berdasarkan tujuan dan matlamat masing-masing.

“UMNO menghormati keputusan PAS untuk bersama PN dan PAS juga mesti menghormati UMNO yang tidak mahu bersama PN,” katanya.

Beliau berkata, pembubaran MN bukan atas dasar marah atau kecewa, tetapi bagi mengelakkan kekeliruan dan salah tafsir di kalangan ahli UMNO.

Ini kerana, masih ada menganggap gagasan itu wujud sedangkan hakikatnya MN telah terkubur, katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button