Berita Utama

Tiada varian baharu B.1.1.529 dilaporkan di Malaysia: KKM

Kawalan sempadan diperketat di pintu masuk negara mulai esok

BANGI, 21 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan tiada kes virus COVID-19 daripada varian baharu B.1.1.529 yang dilaporkan di Malaysia setakat hari ini.

Bagaimanapun, KKM memutuskan untuk mempertingkat langkah-langkah pencegahan dan kawalan sempadan bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara berkuat kuasa pada 27 November 2021.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kementeriannya memandang serius kewujudan varian B.1.1.529 itu dan akan mempertingkatkan survelan genomik termasuk ke atas individu yang tiba dari negara yang melaporkan varian baharu berkenaan.

“Setakat ini tiga buah negara telah melaporkan kes berkaitan varian baharu ini iaitu Afrika Selatan (77 kes), Bostwana (empat kes) dan Hong Kong (dua kes).

“Menurut laporan, varian baharu ini mempunyai 32 mutasi spike protein iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian delta.

“Sehingga kini, belum ada maklumat lanjut bagi tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan bagi varian B.1.1.529 ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau memutuskan untuk tidak membenarkan pengembara warganegara Malaysia yang merancang melawat ke Afrika Selatan, Bostwana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe meneruskan perjalanan mereka.

“Sekatan sementara kepada semua warganegara asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke Bostwana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe.

“Warganegara Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara-negara tersebut dibenarkan memasuki negara namun dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi serta tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah,” katanya.

Khairy berkata, sampel juga akan diambil dari individu yang tiba dari negara-negara tersebut untuk survelan genomik.

“KKM akan terus menjalankan pemantauan perkembangan situasi varian baharu ini di dalam dan luar negara termasuk pelaporan daripada pihak WHO.

“Langkah-langkah pencegahan dan kawalan serta perkembangan mengenai varian baharu B.1.1.529 ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button