Berita UtamaIstimewa

Apa pilihan PAS? Teruskan kerjasama MN atau biar terkubur

Perlu ada strategi matang, jangan sampai matlamat asal terpesong

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 22 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Ramai ternanti-nanti status Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk dengan linangan air mata masyarakat Melayu – sama ada akan terus menyatukan perpaduan ummah atau terkubur begitu sahaja.

Pada 14 September 2019 UMNO dan PAS menubuhkan MN atas alasan mahu mengukuhkan semula kesatuan politik bangsa Melayu.

Gagasan berkenaan didakwa mahu membawa perubahan kepada kesatuan politik Melayu di Malaysia.

Namun, peranan dan fungsi Muafakat Nasional kini seolah-olah tenggelam dan hilang punca.

Bagi penganalisis politik Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, PAS adalah parti yang sangat eksperimental dan terbuka melakukan kerjasama.

“Kita dapat lihat hasil kerjasama dalam MN banyak membuahkan hasil dan semua itu dapat dilihat dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Bagaimanapun, dalam situasi sekarang, PAS perlu memikirkan strategi yang matang dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.

PAS kini berdepan dua pilihan besar sama ada mahu meneruskan MN – yang mana terpaksa meninggalkan Perikatan Nasional (PN).

“Sekiranya PAS terus kukuhkan MN ini bermakna peluang besar kepada parti itu bergerak maju sekali gus berpeluang menduduki Kabinet dalam pentadbiran akan datang.

“Namun perpaduan ummah mampu dikukuhkan sekiranya PAS terus memilih untuk bersama PN yang dibina hasil daripada serpihan UMNO,” katanya.

Kini semuanya terletak di bahu PAS untuk membuat penelitian dan keputusan dengan bijak supaya matlamat asal parti tidak terpesong.

Bagaimanapun Dr. Izani yakin, barisan kepimpinan PAS yang ada hari ini matang dan bijak dalam menangani situasi yang dihadapi.

“PAS tidak sesekali membuat keputusan yang merugikan kerana kerjasama yang dilakukan bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya banyak kerjasama bersama parti-parti lain telah dimeterai.

“PAS bukan sahaja bekerjasama dengan UMNO, tetapi sebelum ini termasuk pernah ‘berkawan’ dengan DAP, yang mempunyai ideologi yang berbeza,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button