Berita Utama

USJKT ditubuhkan kendali kes kematian dalam tahanan, lokap

KDN bincang dengan Kementerian Kewangan lantik panel doktor

KUALA LUMPUR, 1 Jamadilawal 1443H, Isnin – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) bagi menyiasat kes melibatkan tahanan di lokap.

Unit berkenaan akan beroperasi 1 Januari, untuk permulaan diketuai seorang pegawai kanan polis berpangkat superintenden dan dibantu 12 pegawai polis serta seorang pegawai awam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, unit ini memberi tumpuan kepada siasatan unsur jenayah dan mengenal pasti subjek, siasatan kecuaian atau kelalaian anggota serta pematuhan terhadap SOP dan arahan dikeluarkan.

“Beroperasi di bawah kendalian Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM dan penubuhan unit baharu berkenaan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap suara rakyat selain mempertingkat integriti dan imej polis,” katanya.

Sejak 2015 hingga 2021, sebanyak 176 kematian dalam lokap serta dalam tahanan telah direkodkan.

Terdahulu beliau menjelaskan kes kematian yang berlaku di lokap bukanlah sebuah perkauman seperti dibangkitkan setengah pihak dan tidak ada kena mengena dengan jantina.

Katanya, dalam masa terdekat ini, KDN akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk melantik panel doktor.

“Ini bagi membawa terus tahanan ke klinik swasta kerana prosedur yang digunakan sekarang adalah menunggu doktor yang dihantar Kementerian Kesihatan.

“Ia memakan masa yang lama. Kita kalau boleh dapat tangkap sahaja sebelum masuk lokap sudah ada panel doktor buat saringan dan barulah kita tahu kesihatan tahanan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button