Berita Utama

Austisme tidak halang peroleh ijazah sarjana muda

Berhasrat sambung pengajian peringkat Sarjana dan bercita-cita menjadi pakar teknologi

SEREMBAN, 22 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Biarpun berstatus orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai masalah autisme, ia tidak menghalang Ahmad Zahiruddin Zailani, 25, mencapai kecemerlangan sekali gus memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Multimedia dengan kepujian pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini.

Ahmad Zahiruddin yang mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.20 itu berkata sokongan dan galakan ibu bapa serta sikap sentiasa positif dalam apa jua perkara selain menjadikan keadaan dirinya sebagai pendorong untuk berjaya merupakan kunci kejayaannya.

“Ketika pandemik COVID-19, kami jalani pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian, saya melihat tenaga pengajar banyak menggunakan lisan berbanding menggunakan bahan mengajar seperti video dan ‘slide’.

“Oleh itu, semasa menjalani latihan industri di Ummi Maktum USIM, saya tekad dan berjaya menghasilkan lebih 40 video penstriman langsung bagi membantu saya memahami subjek Syariah dan Usuluddin,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan USIM, hari ini.

Anak sulung daripada lima beradik itu juga berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran ketika pengajian di peringkat diploma selain sentiasa menghabiskan masa mengulang kaji  pelajaran dan ‘mentasmik’ bacaan al-Quran di Masjid USIM ketika waktu lapangnya.

Mengenai perancangan masa depannya, Ahmad Zahiruddin berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Pendidikan Khas pada tahun depan selain bercita-cita menjadi pakar teknologi dalam bidang agama bagi membantu golongan berkeperluan khas.

Seramai 2,560 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-19 USIM yang berlangsung selama lapan hari bermula 23 hingga 30 Nov ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button