Berita Utama

IRIS Institute lancar buku dedah strategi terancang penjajah kuasai rantau ini

Terdapat kajian kes Bandaraya KL Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu

BANGI, 22 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – IRIS Institute melancarkan buku ‘Pembandaran Kolonial dan Penghapusan Bangsa Melayu di Malaysia’ yang menawarkan diagnosis baharu terhadap pembentukan realiti dan masa hadapan Malaysia.

Buku itu dilancarkan selaras dengan misi IRIS Institute untuk mengemukakan kajian yang bersifat mendalam dan komprehensif dalam konteks pembangunan nasional.

Pembandaran Kolonial dan Penghapusan Bangsa Melayu di Malaysia mendedahkan bagaimana penjajah Barat dan proksi mereka melaksanakan strategi Settler-Colonialism.

Ia berkenaan strategi yang terancang untuk merombak demografi, pemilikan tanah, pegangan ekonomi, serta pegangan politik orang Melayu agar membolehkan penjajah dan proksinya menguasai dan mengekalkan kuasa di rantau ini.

Buku ini juga meneliti pengalaman bangsa-bangsa lain di seluruh dunia seperti penghapusan bangsa yang berlaku ke atas bangsa di Palestin dan Uyghur.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IRIS Institute, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, kajian ini membuktikan bahawa terdapat persamaan dengan apa yang berlaku di Tanah Melayu dari sudut objektif, pelaksanaan, dan aktor-aktor yang menjalankan agenda Settler-Colonialism dan genosid bangsa tersebut.

Katanya, melalui penelitian terhadap kajian kes Bandaraya Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu, kajian ini membuktikan bahawa strategi ini telah dilaksanakan secara tersusun dan telah membawa implikasi yang dikehendaki oleh penjajah.

“Kajian ini mengisi kelompongan yang besar dalam memahami secara mendalam dan menyeluruh tentang strategi sebenar yang telah disusun oleh penjajah satu masa dahulu.

“Kelompongan kefahaman yang strategik ini mengakibatkan negara terperangkap dalam sebuah reka bentuk (architecture) kenegaraan yang kekal menguntungkan elit kapitalis tempatan dan luar negara, serta menjerat rakyat biasa dalam kitaran kemiskinan dan kejahilan,” katanya dalam kenyataan.

IRIS Institute berharap melalui penerbitan buku ini, semua pihak berkepentingan termasuklah kerajaan, parti-parti politik, golongan intelektual, pemimpin masyarakat, masyarakat Melayu serta seluruh warga Malaysia akan kembali memahami sejarah negara dan bangsa di tanah air ini melalui naratif strategik yang sepatutnya, seperti yang ditawarkan dalam kajian ini.

Ahmad Israa’ berkata, buku ini adalah bukti komitmen tinggi IRIS Institute dalam menjalankan kajian strategik terhadap sejarah, realiti, dan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat.

“Kami mengalu-alukan sebarang bentuk wacana awam dan diskusi mengenai buku yang kami terbitkan.

“Pembelian buku boleh dibuat menerusi laman web IRIS Institute https://fokus.my/ dan orang awam dialu-alukan untuk menyumbangkan sebarang penulisan dan komentar di portal artikel https://fokus.my/ serta jurnal berwasit https://ijistra.com/index.php/journal,” katanya.

Terdahulu, IRIS Institute menerbitkan sebuah buku yang menerima Anugerah Buku Negara (2019) berjudul ‘Penchinaan Malaysia; Tergadaikah Tanah Kedaulatan Bangsa’.

Buku tersebut memaparkan bagaimana bentuk dan implikasi sebuah penjajahan bentuk baru atau neo-kolonialisme yang terkandung dalam agenda projek-projek kerajaan China di Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button