Berita UtamaDunia

Korea Utara larang rakyat pakai jaket kulit seperti gaya Kim Joun-un

Rakyat tak puas hati anggap tidak adil dan berat sebelah

PYONGYANG, 22 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Rakyat Korea Utara dilarang memakai jaket kulit seperti yang digayakan pemimpin utama negaranya, Kim Jong-un.

Pihak berkuasa Korea Utara mendakwa, tidak wajar rakyat meniru cita rasa fesyen pemimpin tertinggi mereka, walaupun jaket yang digayakan rakyat diperbuat daripada kulit tidak asli.

Menurut pihak berkuasa, jaket hanya layak digayakan individu kaya sahaja.

Pemakaian jaket kulit mula popular di negara itu pada 2019, selepas Jong-un tampil menggayakan sut jaket kulit dalam satu program televisyen.

Adik perempuan Jong-un, iaitu Kim Yo-jong juga sering mengenakan jaket kulit sehinggakan golongan wanita di negara itu menganggapnya sebagai ‘simbol kekuatan’.

Banyak peniaga pakaian mula menghasilkan jaket kulit seperti yang dipakai Jong-un dan sambutan terhadap pakaian itu amat menggalakkan.

Namun, pihak berkuasa berpendapat, perkara itu tidak sewajarnya berlaku dan rakyat tidak lagi dibenarkan meniru cara berpakaian oleh pemimpin mereka.

Bagaimanapun larangan yang dikeluarkan pihak berkuasa itu menimbulkan rasa tidak puas hati dan mendakwa tindakan berkenaan tidak adil dan berat sebelah.

Penduduk berpendapat walaupun meniru gaya pemimpin, namun ia dibeli dengan wang rakyat sendiri.

Kebiasaannya, jaket kulit asli dijual pada harga 170,000 won (RM801), manakala bagi kulit tiruan, ia dijual 80,000 won (RM377). – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button