Berita UtamaDunia

PA kecam 372 penempatan haram baru di Tebing Barat

Penyelesaian dua negara proses sabotaj paling keji

TEBING BARAT, 22 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengecam tindakan negara pengganas Israel meluluskan pembinaan 372 unit penempatan baharu di bandar Hebron di selatan Tebing Barat.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar menegaskan, langkah itu lanjutan daripada proses mendiami dan meluaskan penempatan haram di tengah bandar lama Hebron.

Tindakan provokatif itu dibuat hanya beberapa hari selepas Israel meluluskan pembinaan 11,000 unit kediaman di tanah tidak digunakan di Lapangan Terbang Qalandia di Baitulmaqdis Timur – juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Baitulmaqdis.

Menurut kenyataan itu, PA juga mengecam lawatan Presiden Israel, Isaac Herzog ke penempatan berkenaan bagi meraikan Hanukkah, di mana beliau menyalakan lilin perayaan di Masjid Ibrahim.

PA memberi amaran kepada masyarakat antarabangsa mengenai kerosakan prinsip penyelesaian dua negara yang disebabkan oleh pembinaan berterusan penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki.

“Penyelesaian dua negara itu tertakluk kepada proses sabotaj yang paling keji kerana dasar Israel mengenai penguasaan tanah Palestin ketika pengilhakan dipercepatkan di Tebing Barat,” kata PA.

Khamis lalu, media Israel melaporkan majlis Kiryat Arba di bandar Hebron meluluskan pembinaan 372 unit perumahan baharu di kawasan penempatan awam, termasuk bangunan, institusi pendidikan, bangunan komersial serta taman awam.

Menurut angka rasmi Palestin, lebih 600,000 peneroka Yahudi Israel tinggal di kira-kira 140 penempatan yang diluluskan oleh kerajaan Israel.

Ia termasuk sekitar 145 pos penempatan yang tidak diluluskan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Israel menduduki wilayah di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sejak 1967 dan mengawalnya sejak itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button