Berita UtamaDunia

Syria tarik balik buku teks hina agama

Terdapat ilustrasi didakwa beri gambaran imej Nabi Muhammad ﷺ

AL-BAB, 22 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Pihak berkuasa tempatan di wilayah utara Syria yang dikawal Turki, menarik balik buku teks sekolah yang mencetuskan kemarahan susulan penggunaan ilustrasi dilihat sebagai menggambarkan Nabi Muhammad ﷺ, kata pegawai tempatan.

Buku yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Turki dan diedarkan pada Khamis lalu mengandungi ilustrasi yang disifatkan oleh penduduk sebagai menghina agama.

Salah satu imej terkandung dalam buku itu menunjukkan seorang lelaki berjanggut memakai baju sejuk berwarna merah jambu dan seluar ‘burgundy’ sedang menjemput anak perempuannya turun dari sebuah bas sekolah.

‘Nabi menjemput anak perempuan, Fatima’ – demikian tajuk tertera pada muka surat terbabit, tanpa merujuk kepada imej berkenaan secara khusus.

AFP memetik pegawai pendidikan tempatan, Jumaa Kazkaz sebagai berkata, keputusan untuk menarik balik buku itu dari beberapa sekolah di kawasan utara Syria yang dikawal Ankara telah diambil setelah berunding dengan pegawai Turki.

Kawasan itu termasuk bandar Al-Bab di mana penduduk telah memberi amaran melakukan protes dan bandar Jarablus yang penduduknya membakar salinan buku tersebut.

“Telah diputuskan terdapat isu yang tidak boleh diterima dari segi pendidikan agama dalam kandungan buku pendidikan agama.

“…Walaupun pihak penerbitan berkaitan memohon maaf dengan menyatakan terdapat kesilapan dan kesalahan dalam kandungan, insiden itu sedang disiasat dari pelbagai perspektif,” kata Pejabat Gabenor Gaziatep di tenggara Turki. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button