Berita Utama

Heret Al Jazeera ke muka pengadilan!

Persepsi dunia terhadap Malaysia berubah akibat fitnah

BANGI, 15 Zulkaedah 1441H, Selasa – Agensi berita antarabangsa, Al Jazeera mesti diheret ke muka pengadilan selepas memburukkan imej Malaysia menerusi dokumentari mengenai cara negara mengendalikan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Arifin Manan menegaskan, pemberitaan dengan niat jelas untuk menuduh Malaysia menjalankan diskriminasi kepada PATI tanpa bukti kukuh adalah satu kesalahan jurnalistik yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Kejayaan Malaysia menangani COVID-19 telah dicemari oleh pemberitaan tidak bertanggungjawab dari Al Jazeera.

“Persepsi masyarakat dunia terhadap kebaikan Malaysia dan rakyatnya telah berubah akibat dari fitnah itu.

“Serentak itu, Pemuda ISMA menggesa agar Al Jazeera Malaysia disiasat dan dihadapkan ke muka pengadilan. Tidak cukup sekadar dipaksa memohon maaf,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap PATI ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.

Dokumentari agensi berita antarabangsa itu mendapat cemuhan rakyat yang menyifatkannya sebagai tidak benar dan berniat tidak baik.

Difahamkan, Bukit Aman akan memanggil wartawan Al Jazeera dan agensi berita itu bagi melengkapkan siasatan selepas menerima beberapa laporan polis mengenai laporan dokumentari pengendalian PATI ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menuntut Al Jazeera memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana menyiarkan fakta tidak benar.

Katanya, Al Jazeera melakukan pembohongan apabila mendakwa kanak-kanak warga asing tanpa izin diperlakukan dengan kejam termasuk digari ketika dibawa ke Depot Tahanan Imigresen (DTI).

Realiti yang berlaku ialah kanak-kanak itu tidak digari malah diasingkan daripada tahanan lain dan ditempatkan bersama ibu bapa mereka.

“Ini fakta sebenar. Al Jazeera tak ingin tahu fakta sebenar ini bahkan atas niat tidak baik menuduh kita rasis, ini juga tidak benar.

“Sebagai sebuah media antarabangsa, kita minta Al Jazeera menghentikan tindakan (menyiarkan dokumentari) dan mohon maaf kepada rakyat Malaysia,” katanya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button