Berita Utama

Begitu banyak dasar punca matlamat perkasakan SK tak tercapai

Hanya 24 buah SK ditambah berbanding sasaran 180 sekolah

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 23 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Matlamat memperkasakan sekolah kebangsaan (SK) sebagai sekolah aliran perdana tidak tercapai lagi, demikian kata Presiden Persatuan Pesara Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM), Datuk Abdul Raof Hussin.

Beliau berkata, ia terbukti dengan keadaan di mana sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil masih wujud dengan tambahan sekolah swasta yang lain di negara ini. 

Katanya, bukan tidak ada usaha untuk memperkasa SK, namun kewujudan begitu banyak dasar baharu setiap kali bertukarnya pemimpin menyukarkan lagi pencapaian matlamat. 

“Perubahan dasar pendidikan di negara kita ini kadang-kadang ikut sedap menteri sahaja. Menteri tak pandang pun bahawa Ketua Pengarah Pendidikan adalah penasihat menteri dalam hal akademik, pendidikan. Tetapi terbalik, ini menteri fikir, terus nak ubah, fikir, ubah. 

“Cuba lihat dahulu bagaimana Tun Abdul Razak bina dasar pendidikan negara kita. Bukan mendadak, tetapi ada proses. Kemudian disusuli Penyata Rahman Talib. 

“Diberi pilihan pada sekolah Inggeris untuk bertukar ke sekolah rendah kebangsaan yang guna bahasa Melayu sebagai pengantar utama. Waktu itu turut dibincang juga tawaran kepada sekolah menengah swasta Cina masuk jadi sekolah menengah kebangsaan Cina. 60 sekolah tolak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Ilmu bertajuk ‘Sudah Perkasakah Sekolah Kebangsaan Kita’ anjuran Wanita BERJASA secara maya, hari ini. 

Abdul Raof turut memetik pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang tidak berjaya untuk meningkatkan prestasi murid SK.

“PPSMI dibuat kerana kononnya budak-budak tak tahu bahasa Inggeris, tak tahu komputer. Saya ketika itu jadi Pengarah Eksekutif Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina), menghadap Datuk Seri Najib Razib menanyakan sama ada kerajaan telah memutuskan untuk memansuhkan PPSMI atau tidak. 

“Dia kata belum. Kalau belum, saya kata boleh tak Pembina nak buat kajian nak melihat sejauh mana dasar PPSMI ini bagus atau tak bagus. Najib kata okay,” katanya.

Beliau menegaskan, sebarang dasar yang hendak dilaksanakan mesti dibuat kajian terlebih dahulu, kemudian disusuli program rintis di mana beberapa sekolah dipilih untuk membuat percubaan.

“Kita pun buat kajian melibatkan lapan universiti, 53 pensyarah universiti. 15,084 murid sekolah. Sekolah rendah 90 buah, menengah 70 buah sekolah.

“Dapatannya selepas PPSMI dijalankan peningkatan bahasa Inggeris tak sampai empat peratus pun. Lingkupnya budak-budak sampai berjuta-juta. Matematik merudum, Sains merudum. 

“Saya tanya Najib apa pendirian Najib. Dia kata tuan tingkatkan bahasa Inggeris melalui literatur. Selepas buat kajian ini, didapati 39.8 peratus guru ajar PPSMI tidak layak, tidak mampu pun sebenarnya,” katanya.

Mengulas lanjut kegagalan pemerkasaan SK, Abdul Raof berkata, pada tahun 2016 Kementerian Pendidian (KPM) menyasarkan untuk ditambah 180 buah sekolah kebangsaan.

“Namun, sehingga 2019 sekolah yang bertambah hanya 24 buah sahaja. Kenapa jadi begitu?,” soalnya.

Selain itu, KPM juga mahu merapatkan jurang pendidikan antara lokasi membabitkan tahap sosioekonomi, tahap keupayaan pelajar untuk memastikan kesemua mereka mempunyai peluang untuk cemerlang. 

“Kalau kita tengok, fokus untuk merapatkan jurang adalah membangunkan infrastruktur. Tetapi ini tak berlaku secantiknya. Malah rancangan untuk meningkatkan bilangan guru terlatih mengikut opsyen di kawasan pedalaman pun tak berlaku,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button