Berita UtamaDunia

COVID-19: Negara Arab larang kemasukan pelancong dari Afrika

Sekatan dibuat selepas kemunculan varian baharu Omicron

RIYADH, 23 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Negara Semenanjung Arab akan menyekat kemasukan pelancong dari beberapa negara Afrika selepas laporan munculnya varian Omicron.

Semalam, Oman dan Qatar mengumumkan larangan ke atas pelancong dari beberapa negara Afrika selepas laporan varian COVID-19 baharu yang pertama kali dikesan di selatan Afrika.

Langkah serupa dikenakan pada hari Jumaat oleh Mesir, Iran, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi, Kuwait dan Jordan.

Pada hari Khamis, saintis Afrika Selatan berkata, mereka telah mengesan varian B.1.1.529 baharu dan berkata, ia mempunyai sekurang-kurangnya 10 mutasi berbanding dua untuk Delta dan tiga bagi varian Beta.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan strain yang ditemui baru-baru ini sebagai ‘varian kebimbangan’, kemudian menamakan semula ia sebagai ‘Omicron’.

Varian itu mempunyai spike-protein yang jauh berbeza dengan yang terdapat dalam coronavirus asal, kata Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UK), sekali gus menimbulkan kebimbangan tentang bagaimana tindak balas vaksin akan berlaku.

“Seperti yang telah diterangkan oleh saintis, (ini) adalah varian paling ketara yang mereka temui setakat ini,” kata Setiausaha Pengangkutan Britain, Grant Shapps kepada Sky News.

Qatar Airways pada hari Sabtu berkata, ia telah melarang kemasukan pelancong dari Afrika Selatan, Zimbabwe dan Mozambique.

Pihak berkuasa Oman pula mulai hari ini akan menangguhkan kemasukan pelancong yang datang dari Afrika Selatan, Namibia, Botswana, Zimbabwe, Mozambique, Lesotho dan Eswatini, menurut Agensi Berita Oman.

Di Arab Saudi, larangan itu termasuk penerbangan ke dan dari negara tersebut, menurut Agensi Akhbar Saudi.  

Garis panduan baharu itu, bagaimanapun menegaskan, rakyat negara-negara Afrika boleh memasuki Arab Saudi setelah menghabiskan kuarantin 14 hari sebelumnya dan mematuhi protokol kesihatan.

UAE akan mengenakan larangan itu pada hari Isnin, menurut agensi berita rasmi Emirati, WAM. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button