Berita Utama

Harga naik, KPDNHEP lancar Op Pasar (Sayur 2)

Kenaikan harga barangan didakwa capai 200 peratus di pasaran

KUALA TERENGGANU, 23 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Op Pasar (Sayur 2) di seluruh negara mulai semalam.

Ia susulan laporan kenaikan harga barangan makanan itu yang didakwa mencapai tahap hingga 200 peratus di pasaran.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata setakat hari pertama, 43 premis dan 131 jenis sayur seperti sawi, kacang buncis, brokoli dan cili merah telah diperiksa meliputi semua peringkat rangkaian pengedaran iaitu pembekal, pemborong dan peruncit di seluruh negara.

“Kementerian tidak pernah memandang ringan keluhan pengguna dan peniaga terhadap kenaikan harga barang di pasaran kerana kami juga mempunyai keluarga, saudara-mara dan sahabat handai yang turut merasai tempias ini.

“Setakat semalam, KPDNHEP telah mengeluarkan 43 notis pengesahan maklumat bertulis dan 40 notis bertulis kepada peniaga bagi mendapatkan pengesahan sama ada wujud unsur pencatutan atau ambil untung berlebihan atas harga jualan sayuran,” katanya ketika ditemui pada program kempen keselamatan pengguna kerjasama Petronas dan KPDNHEP di Kuala Berang, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga merangkap Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad Azrul Osman Rani.

Tambah Rosol lagi, bagi notis pengesahan maklumat bertulis, peniaga diberi masa dua hari untuk menjawab manakala untuk notis bertulis, tempoh lima hari diperuntukkan untuk mendapatkan maklum balas.

Pada masa sama, seramai 1,000 pegawai pemantau harga (PPH) ditugaskan untuk membuat pemantauan di 1,500 lokasi setiap hari bagi meninjau serta merekodkan perubahan harga sayur-sayuran di pasaran.

“PPH dan pegawai penguat kuasa kita memang turun padang setiap hari tanpa gagal untuk memantau harga barangan di lapangan dan sentiasa melaporkannya sekiranya berlaku perubahan harga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata pihak Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd dijangka akan memberi maklum balas berhubung saranan kementerian kepada syarikat itu untuk menangguhkan sementara kenaikan harga roti esok.

Beliau berkata saranan itu disampaikan kepada syarikat berkenaan dalam satu pertemuan pada Jumaat untuk mendapatkan justifikasi mengenai perubahan harga itu.

“Walaupun begitu, kita juga sedang memikirkan mekanisme untuk membantu mereka (Gardenia (KL) Sdn Bhd) yang turut terkesan dengan peningkatan harga gandum yang membawa kepada kenaikan harga roti. Kita seboleh-bolehnya mahu mewujudkan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak dan peniaga tidak perlu sampai tutup kilang sementara pengguna juga tidak terbeban dengan kenaikan harga walaupun 10 sen,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button