Berita Utama

Kerjasama MN wajar dibuka kepada parti lain

PAS perlu main peranan penyatu ummah kepada parti Melayu lain

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 23 Rabiulakhir 1443H, Ahad – PAS perlu membuka ruang kerjasama yang lebih luas bersama parti-parti politik Melayu dan Islam lain di negara ini dalam menjayakan gagasan Muafakat Nasional (MN).

Parti yang membentuk kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah itu tidak sepatutnya menjurus kepada menjalinkan hubungan kerjasama dengan UMNO semata-mata.

Sebaliknya perlu memainkan peranan lebih besar sebagai orang tengah kepada penyatuan ummah iaitu slogan yang mereka perjuangankan sejak sekian lama.

Presiden Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (BERJASA), Ustaz Haji Zamani Ibrahim yakin kedudukan politik Melayu mampu diperkukuhkan sekiranya PAS memperluaskan hubungan kerjasama dengan parti lain selain UMNO.

“Sebelum PAS bekerjasama dengan UMNO adalah lebih baik sekiranya PAS himpunkan beberapa parti lain seperti BERSATU, BERJASA, MUDA, AMANAH, PUTRA bagi kukuhkan parti-parti Melayu ini.

“Sekiranya PAS memfokuskan untuk bersama UMNO sahaja parti itu akan dilabel sebagai terhegeh-hegeh mencari simpati parti berkenaan selepas menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, Ustaz Zamani menyatakan rasa bimbang jikalau PAS bakal dipermainkan oleh UMNO sekiranya MN hanya disertai oleh dua buah parti sahaja.

Justeru, dalam hal ini beliau menasihati PAS supaya bertindak bijak dalam menjana setiap gerakan agak tidak memudaratkan diri.

“Kita tahu sikap UMNO yang sebenar, sebab itu PAS perlu bijak dan berhati-hati dalam mencari keputusan.

“Kita tidak mahu PAS terus dipermainkan oleh parti itu kerana sikapnya yang sememangnya ego dan merasakan dirinya semakin kukuh dan diterima semula rakyat,” dakwanya.

Ketika ini ramai pihak ternanti-nantikan untung nasib MN selepas PAS mengambil keputusan untuk menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri Melaka, baru-baru ini.

Susulan daripada keputusan itu, UMNO mengambil keputusan untuk bergerak secara solo sebelum mencapai kejayaan cemerlang di Melaka.

Berikutan itu, Veteran UMNO menggesa supaya gabungan MN dibubarkan kerana merasakan ianya tidak lagi diperlukan, selain mengelak daripada berlaku kekeliruan dalam kalangan akar umbi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button