Berita Utama

Kor Ming diingat jangan ‘main api’, bangkit kemarahan Melayu

Syor Bumiputera tak realistik hanya untungkan DAP

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 23 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming diingatkan supaya tidak ‘bermain api’ dan berpijak di bumi nyata dalam membuat sesuatu permintaan.

Ini susulan tindakan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu yang mengesyorkan supaya rakyat lahir selepas awal pagi 31 Ogos 1957 menikmati status Bumiputera.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Johari mempersoalkan, mengapa Kor Ming mahu memperjuangkan isu Bumiputera sedangkan selama ini peraturan-peraturan lain yang ditetapkan tidak mahu dipatuhi.

“Saya pelik kenapa dia tidak malu dan bersikap dangkal, hak Bumiputera mereka mahu perjuangkan tetapi apabila minta untuk patuh peraturan di negara ini mereka bantah pula.

“Terbaharu isu tulisan Jawi di Pekan kenapa mereka bertegas menentang sedangkan mahu hak sama rata seperti orang Melayu, sekiranya bersedia jadi rakyat di negara ini, saya rasa tiada masalah untuk mereka menerima perkara ini secara terbuka.

“Ini jelas menunjukkan kehendak mereka tidak selari, hanya mahu yang menguntungkan diri mereka sahaja,” dakwanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mohd Nor Izzat menjelaskan, sepatutnya Kor Ming memohon maaf kepada rakyat Malaysia khususnya kaum Bumiputera di atas syor melampau itu.

“Namun kita kecewa sehingga kini langsung tiada maaf daripadanya dan menganggap perkara itu sebagai remeh dan mudah sahaja,” katanya.

Beliau yakin tidak semua kaum Cina dan India setuju dengan ‘permintaan’ berkenaan kerana mereka sedar akan hakikat sebenar.

Sehubungan itu, beliau yang turut dikenali sebagai Cikgu Izzat menggesa Kor Ming bersikap realistik sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Jangan main api dengan hak dan kedudukan di negara kita kerana orang Melayu juga boleh tunjuk kuasa dan mendesak untuk kaji semula keberadaan golongan itu di negara ini yang semestinya membawa kedukaan yang berpanjangan kepada golongan berkenaan,” ujarnya.

Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan mengesyorkan kerajaan menggubal dasar perpaduan negara yang baharu.

Malah, beliau turut mencadangkan agar semua rakyat yang lahir selepas awal pagi 31 Ogos 1957 boleh menikmati status Bumiputera, dan kerajaan tidak patut dan tak boleh lagi membezakan rakyat dengan ‘warna kulit’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button