Berita UtamaDunia

Lebih 40 terbunuh, PM Sudan hentikan khidmat Ketua Polis Negara

Pasukan keselamatan sasar kepala, leher dan badan penunjuk perasaan

KHARTOUM, 23 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Perdana Menteri, Abdalla Hamdok telah menggantikan Ketua Polis Sudan selepas lebih 40 orang terbunuh dalam tindakan keras terhadap protes berikutan rampasan kuasa tentera bulan lalu.

Ketua tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan merampas kuasa dan menahan Hamdok pada 25 Oktober, tetapi selepas kritikan antarabangsa dan protes besar-besaran beliau memulangkan semula jawatan Perdana Menteri dalam perjanjian 21 November.

Sekurang-kurangnya 42 orang terbunuh, menurut pegawai perubatan, ketika pasukan keselamatan berusaha untuk menghentikan demonstrasi antirampasan kuasa selama berminggu-minggu, dengan protes berterusan walaupun selepas Hamdok dibebaskan daripada tahanan rumah dan kembali ke jawatannya minggu lalu.

Pada hari Sabtu, Hamdok berkata, beliau telah memecat Ketua Pengarah Polis, Khaled Mahdi Ibrahim al-Emam dan timbalannya, Ali Ibrahim.

Bagi menggantikan mereka, beliau melantik Anan Hamed Mohamed Omar dengan Abdelrahman Nasreddine Abdallah sebagai timbalannya, kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan.

Pakar perubatan menuduh pasukan keselamatan menyasarkan penunjuk perasaan di ‘kepala, leher dan badan’ dengan peluru hidup, serta peluru bersalut getah dan tong gas pemedih mata.

Polis menafikan laporan mereka melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup.

Kemudian pada hari Sabtu, Majlis Kedaulatan Sudan juga mengumumkan bahawa ia telah melantik Pengarah Perkhidmatan Perisikan Am baharu, Ahmed Mufaddal yang pernah berkhidmat sebagai timbalan pengarah.

Beratus-ratus aktivis politik, wartawan, penunjuk perasaan dan orang ramai yang menyaksikan perhimpunan itu telah ditangkap dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dan kekal dalam tahanan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button