Berita Utama

Tubuh jawatankuasa bebas cari penyelesaian isu royalti: PAS

Tiada kesamaan kerajaan Persekutuan, negeri yang punyai fakta masing-masing

KOTA BHARU, 23 Rabiulakhir 1443H, Ahad – PAS mencadangkan jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi mencari penyelesaian berhubung isu royalti minyak di Kelantan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya akan membincangkan isu tersebut terutama dengan Kementerian Kewangan.

“Penubuhan jawatankuasa itu boleh dibuat berikutan tidak ada kesamaan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang mempunyai fakta masing-masing berkaitan isu berkenaan.

“Saya mencadangkan mungkin satu jawatankuasa yang dipersetujui kedua-dua pihak ditubuhkan untuk mengesahkan beberapa perkara berkaitan royalti minyak Kelantan.

“Terutamanya berkenaan jarak batu nautika kedudukan medan pengeluaran petroleum dan kedua, jumlah pengeluaran petroleum,” katanya kepada media tempatan, hari ini.

Perjanjian petroleum antara Kelantan dan kerajaan Persekutuan pada 1975 sebelum ini tidak menyatakan soal jarak medan pengeluaran minyak itu.

Kata Tuan Ibrahim, jawatankuasa itu juga boleh melihat semula status royalti minyak seperti yang dinyatakan Menteri Kewangan.

Khamis lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menerusi jawapan bertulis memaklumkan Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada Kelantan.

Sebaliknya, kerajaan hanya membuat pembayaran dalam bentuk ihsan berikutan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah berada di luar perairan negeri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button