Berita Utama

Notis NPMB kepada peniaga isu kailan ikan masin harga RM18

Mereka perlu beri maklum balas dalam tempoh dua hari

KEPALA BATAS, 24 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada peniaga sebuah restoran berhubung hantaran di media sosial mengenai hidangan kailan ikan masin pada harga RM18.

Dalam kenyataan hari ini, KPDNHEP Pulau Pinang berkata, peniaga itu perlu memberi maklum balas berhubung NPMB dalam tempoh dua hari bekerja bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

“Pihak KPDNHEP Pulau Pinang menerima makluman berkaitan isu yang ditularkan “harga terlalu mahal tidak setara kuantiti yang diberikan” melalui media sosial oleh seorang pelanggan mengenai hidangan kailan ikan masin yang dikatakan mahal, semalam.

“Berikutan itu penguat kuasa kami telah pun ke lapangan (restoran) untuk menyiasat aduan itu semalam dan mengeluarkan satu notis NPMB kepada peniaga restoran berkenaan, dan (mereka) perlu memberi maklum balas dalam tempoh dua hari kepada KPDNHEP Pulau Pinang,” menurut kenyataan itu.

Semalam menerusi hantaran di Facebook (FB) itu, seorang pelanggan memuat naik resit memaparkan harga keseluruhan makanan sebelum ia tular, dan individu terbabit terkejut apabila sebungkus kailan ikan masin dijual pada harga RM18. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button