Berita Utama

Salah guna kedudukan: Bekas jurutera JKR lepas bebas

Hakim mendapati rayuan punya merit dan sabitan terhadap perayu tidak munasabah

PUTRAJAYA, 24 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Seorang bekas jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Kulaijaya menangis teresak-esak selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan pada 2015.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara mendapati, rayuan Azizan Mohamed Yasin, 40, mempunyai merit dan sabitan terhadap perayu tidak munasabah.

“Kami berpuas hati terdapat merit dalam rayuan perayu (Azizan) berkenaan anggapan di bawah Seksyen 23(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Oleh itu, mahkamah mendapati sabitan terhadap perayu tidak munasabah dan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen dan Hakim Mahkamah Tinggi perlu diketepikan,” kata Hakim Kamaludin yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah.

Kelihatan isteri Azizan membuat sujud syukur di galeri awam selepas keputusan dibacakan oleh panel hakim.

Pada 27 November 2019, Azizan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan didenda RM100,000 atau dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, selepas didapati bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 28 Januari 2020.

Lelaki itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan apabila melantik syarikat G Two Amiruddin Trading, bagi melaksanakan kerja memotong rumput dan pembersihan.

Azizan didakwa melantik syarikat tersebut bagi melakukan kerja-kerja memotong rumput dan pembersihan di beberapa jalan di sekitar Kulaijaya dengan harga kerja berjumlah RM19,750 yang mempunyai hubungan dengan abangnya Azizi Mohamed Yassin, yang mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Kerja Raya, Kulaijaya pada Ogos 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pada prosiding itu, Azizan diwakili peguam Asmadi Hussin manakala Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol hadir bagi pihak pendakwaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button