Berita Utama

Syor subsidi haji diberi bersasar, bukan kepada semua

Hanya yang kurang berkemampuan layak nikmati subsidi

KUALA LUMPUR, 24 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Pemberian subsidi haji kepada pendeposit Tabung Haji (TH) perlu diperuntuk secara bersasar, bukan secara umum seperti yang dilaksanakan sekarang.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang mengesyorkan perkara itu berkata, langkah tersebut akan mengurangkan beban kewangan TH yang perlu menanggung subsidi haji hampir RM380 juta setahun.

Pada masa sama, ia membolehkan subsidi itu diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Sudah tiba masanya subsidi haji dinilai semula, terutama ketika kos haji pasca pandemik COVID-19 dijangka meningkat kepada RM30,000.

“Mekanisme bagi subsidi bersasar ini perlu diberikan supaya mereka yang memerlukan subsidi untuk melaksanakan haji ini ialah yang kurang berkemampuan, selain kita tidak mahu TH menanggung beban kerana semua mendapat subsidi,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Mujahid seperti dilapor BH Online berkata, ketika menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2019, beliau pernah membawa isu ini ke Kabinet kerana kos subsidi berkenaan tidak pernah dinilai sejak 2009.

Walhal, kos sebenar haji sentiasa meningkat setiap tahun – dari kira-kira RM12,000 pada 2009 kepada kira-kira RM22,000 pada 2019.

“Kita sudah bentangkan dan buat mekanisme seperti jumlah pendapatan (bakal jemaah) dan simpanan dalam TH. 

“Cuma Kabinet pada waktu itu menganggap kita perlu buat perkara ini secara berperingkat dan memberi penerangan yang kos subsidi haji ini perlu dinilai semula,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah mempunyai rancangan untuk mendidik orang ramai bahawa kebergantungan kepada subsidi bagi mereka yang layak itu tidak wajar dan hanya diberikan kepada yang benar-benar memerlukan.

“Ini akan mengambil masa dan jika mahu tukar secara mendadak, memang ada kesan. Namun, hari ini peluang terbaik apabila isu pandemik berlaku,” katanya.

Justeru, beliau meminta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad untuk menilai cadangan itu.

Kelmarin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan menjangka kos mengerjakan haji meningkat kepada lebih RM30,000, peningkatan sehingga 50 peratus berbanding RM23,000 sebelum ini.

Katanya, peningkatan itu disebabkan Cukai Nilai Tambah (VAT) diperkenal kerajaan Arab Saudi naik 15 peratus, berbanding lima peratus sebelumnya, selain penambahan kos bagi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu, susulan pandemik COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button