Berita Utama

Vaksin sedia ada belum pasti mampu kekang penularan Omicron

Meskipun kini bebas bergerak, orang ramai perlu berjaga-jaga dengan varian baharu

KUALA LUMPUR, 24 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Keberkesanan vaksin terhadap varian baharu COVID-19, Omicron masih belum dapat dipastikan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Justeru, beliau menggesa rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati terhadap kemungkinan jangkitan sambil menyeru orang ramai untuk segera mendapatkan suntikan dos penggalak.

“Dikatakan bahawa varian Omicron lebih berbahaya kerana ia mempunyai 32 mutasi dalam spike protein berbanding varian Delta yang mempunyai sembilan mutasi dalam spike protein. Itulah sebabnya kita perlu mendapatkan suntikan dos penggalak.

“Kita masih tidak pasti sejauh mana vaksin boleh berfungsi terhadap varian ini.

“Walaupun kita boleh bergerak dengan bebas memandangkan kita kini berada di bawah Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), orang ramai mesti sedar tentang varian baharu ini supaya kita dapat mengelakkan kemungkinan jangkitan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, penyelidikan beberapa negara mengenai suntikan dos penggalak menunjukkan imuniti seseorang berkurangan enam bulan selepas menerima dos vaksin lengkap.

“Nampaknya orang ramai semakin leka selepas negara kita mencapai sasaran 80 peratus vaksinasi. Kita fikir semuanya baik-baik saja sekarang sedangkan ia tidak,” katanya

Menjawab soalan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Pakatan Harapan – Kuala Selangor), Dr Noor Azmi berkata, Kementerian Kesihatan kini sedang berusaha untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun.

“Kita kena teliti untuk memberi vaksin kepada kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun kerana apabila kita benarkan perjalanan rentas negeri, kanak-kanak ini juga mengikut (ibu bapa mereka) ke Langkawi atau majlis perkahwinan.

“Tetapi, mereka masih belum dilindungi, sebab itu kerajaan akan memastikan mereka juga akan diberi vaksin,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Azmi mendedahkan seramai 1,497 pegawai perubatan kontrak meletak jawatan antara 2017 hingga Jun tahun ini atas pelbagai sebab.

Menurutnya, ia terdiri daripada 110 pegawai pada 2017, 168 pada 2018, 475 pada 2019, 511 pada 2020, dan 514 pada tahun ini.

“Alasan yang diberikan untuk peletakan jawatan mereka termasuk meneruskan perkhidmatan di sektor swasta, isu peribadi, berkhidmat dalam badan berkanun, melanjutkan pelajaran, masalah kesihatan, berkhidmat di luar negara dan membuka klinik sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button