Berita Utama

Syor tubuh pusat budaya Melayu di kedutaan

Bahasa Melayu boleh jadi lingua franca antarabangsa

BANGI, 25 Rabiulakhir 1443H, SelasaKerajaan disyor melaksanakan kempen intensif bagi menjenamakan semula bahasa Melayu dan memperkasakan lagi penggunaannya.

Bagi merealisasikan agenda itu, Pensyarah Sejarah Sosial dan Intelektual, institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, pentingnya peranan Kementerian Luar dalam melaksanakan diplomasi budaya.

“Kita amat lemah dalam hal ini. Kita menjalankan diplomasi tanpa mengambil kira konteks tamadun dan budaya Melayu.

“Kementerian Luar perlu memperkenalkan tamadun, budaya dan bahasa Melayu untuk dijadikan sebagai bahasa antarabangsa.

“Ini bukan hanya soal bahasa tetapi kita merangka atau merencanakan satu ‘alat’ dasar luar dalam memperkenalkan tamadun dan budaya Melayu sebagai asas budaya Malaysia,” katanya seperti dilapor portal tempatan, hari ini.

Tegas Prof Murad, hanya dengan platform berkenaan, bahasa Melayu boleh menjadi lingua franca antarabangsa dan perlu mula melaksanakannya di rantau ini terlebih dahulu.

Beliau menyarankan supaya menubuhkan institut atau pusat budaya Melayu di beberapa kedutaaan di negara ini bagi mengembangkan pengaruh bahasa di peringkat dunia.

“Di pusat itu, kita boleh memperkenalkan pengajaran atau kelas bahasa Melayu serta tulisan Jawi,” katanya.

Malah beliau berpandangan, kesusasteraan Melayu atau Malaysia dalam bahasa Melayu serta memaparkan buku-buku tentang tamadun dan budaya Melayu diperkenalkan dalam tiga bahasa.

Antaranya dalam bahasa Inggeris, bahasa ‘tuan rumah’ kedutaan berkenaan dan bahasa Melayu.

“Di samping itu, wujudkan sekolah antarabangsa yang memberi tumpuan dalam aspek pembelajaran bahasa Melayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button