Britain, Tel Aviv tandatangani perjanjian perdagangan, pertahanan selama 10 tahun
Pakatan juga bertujuan halang Iran dapatkan senjata nuklear

UNITED KINGDOM, 25 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Britain menandatangani perjanjian perdagangan dan pertahanan selama 10 tahun dengan negara haram Israel pada hari Isnin, di mana mereka akan bekerjasama dalam keselamatan siber serta komited untuk menghalang Iran daripada mendapatkan senjata nuklear.
Setiausaha Luar United Kingdom (UK), Liz Truss dan rakan sejawatannya dari Israel, Yair Lapid mengumumkan memorandum persefahaman pada hari Isnin dalam artikel bersama untuk akhbar Telegraph.
Kedua-dua menteri berkata, pakatan itu akan memacu kejayaan teknologi dan negara haram Israel secara rasmi akan menjadi rakan siber tahap satu untuk UK dengan perjanjian ini.
UK dan Israel akan memulakan perbincangan mengenai perjanjian perdagangan penuh pada awal 2022, kata Truss dan Lapid. Perdagangan antara mereka pada masa ini bernilai AS$5 bilion.
Pakatan itu juga menggandakan komitmen Britain untuk mengurangkan antisemitisme dengan mengutuk bantahan terhadap Duta Israel, Tzipi Hotovely di luar London School of Economics dan menyokong keputusan UK untuk melabelkan Hamas sebagai kumpulan pengganas.
“Tiada tempat untuk antisemitisme di seluruh dunia. Itulah sebabnya UK telah bergerak tegas untuk menyokong Israel dalam perjuangan ini dengan melarang Hamas secara keseluruhannya,” katanya.
Mereka menyerlahkan sokongan UK untuk perjanjian normalisasi baru-baru ini antara beberapa negara Arab dan Israel.
“UK adalah antara negara pertama yang secara terbuka meraikan langkah bersejarah ini ke arah normalisasi di Timur Tengah yang diketuai oleh Israel, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain serta Maghribi dan ditengahkan oleh Amerika Syarikat.
“Setahun kemudian, UK terus memainkan peranannya dalam menyokong Israel kerana ia bekerja lebih rapat dengan rakan kongsi di rantau ini,” katanya.
Lapid tiba di London pada Ahad untuk lawatan dua hari ke UK dan Perancis, sehari sebelum rundingan nuklear dengan Iran akan disambung semula.
Saluran 13 Israel melaporkan bahawa lawatan Lapid bertujuan untuk memastikan sekatan perbankan tidak ditarik balik semasa perbincangan dengan Iran. – Agensi