Berita Utama

Keluarkan semula pekeliling rasmi wajib guna bahasa Melayu

Pemerkasaan bahasa kebangsaan di pentas antarabangsa perlu giat dilakukan

BANGI, 25 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Pekeling rasmi mewajibkan penggunakan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan perlu dikeluarkan semula susulan nilai bahasa kebangsaan dilihat makin merosot di mata rakyat.

Audit bahasa pernah dilaksanakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), namun tidak berkesan kerana tidak disertai tindakan sewajarnya.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, sepatutnya hasil daripada pemantauan audit bahasa disusuli tindakan supaya usaha terbabit tidak berlalu sia-sia.

Malah beliau berharap agar usaha pemerkasaan bahasa Melayu di pentas antarabangsa dilakukan dengan lebih giat.

“Pengembangan dan pemantapan bahasa Melayu di luar negara juga hendaklah dilaksanakan dengan lebih gigih oleh DBP yang berada di bawah Kementerian Pendidikan, selain Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui pelbagai program dirancang bersama,” katanya.

Mohamad Saleeh berkata, PENA juga berharap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menguatkuasakan pembelajaran bahasa Melayu kepada pelajar dan tenaga akademik asing di universiti awam negara ini.

“Bukan sekadar mewajibkan pengambilan kursus (bahasa Melayu), bahkan perlu memastikan mereka boleh menguasainya.

“Langkah itu penting bagi membolehkan bahasa Melayu mendapat nilai ekonominya apabila semua pihak mahu mempelajarinya.

“Mereka kemudian akan menjadi duta bahasa Melayu apabila kembali ke negara masing-masing,” katanya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri menegur agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di negara ini kerana lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek dan produk mereka.

Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sudah menjadi lumrah Bahasa Melayu kini tidak digunakan sama ada dalam persidangan, mesyuarat, nama syarikat, nama projek mahupun jenama produk mereka.

Justeru, beliau berharap selepas ini pihak berkenaan dapat menggunakan bahasa kebangsaan dalam segala urus.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button