Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Malaysia akan terus sokong perjuangan rakyat Palestin

Sempena Hari Perpaduan Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin

PUTRAJAYA, 25 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Malaysia mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi dan solidaritinya terhadap rakyat Palestin serta perjuangan mereka untuk penentuan nasib sendiri, kebebasan dan kemerdekaan.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata demikian sempena Hari Perpaduan Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin yang disambut pada 30 November setiap tahun.

Tahun ini adalah tahun ke-44 sejak Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperkenalkan sambutan tersebut.

Beliau berkata hari itu terus memberi ingatan memedihkan mengenai tanggungjawab masyarakat antarabangsa yang belum selesai dalam menamatkan isu Palestin.

“Malaysia bersama masyarakat antarabangsa teguh berdiri serta bersatu dengan tujuan yang sama untuk mencari jalan bagi penyelesaian yang aman, adil dan berkekalan untuk Palestin dan rakyatnya,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar ( Wisma Putra) di sini hari ini.

Justeru, beliau berkata Malaysia akan terus aktif meneruskan agenda Palestin secara dua hala serta terlibat dalam pelbagai forum serantau dan antarabangsa ke arah aspirasi rakyat Palestin, demi kebebasan dan merealisasikan negara Palestin berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, sebagaimana disepakati di peringkat antarabangsa, undang-undang antarabangsa, dan resolusi PBB yang berkaitan.

“Sokongan berterusan Malaysia terhadap perjuangan Palestin juga sebagai mengiktiraf aspirasi generasi baharu aktivis Palestin ke arah merealisasikan hasrat rakyat Palestin untuk kebebasan dan negara Palestin yang merdeka.

“Rakyat Palestin sudah mengalami penderitaan yang amat teruk akibat pendudukan dan sekatan Israel serta dasar perkauman dan diskriminasi, penafian hak asasi sivil; kekerasan; merampas tanah dan harta benda serta tindakan tidak berperikemanusiaan yang lain.

“Rakyat Palestin berhak mendapat keadilan dan keamanan. Komuniti global berhutang kepada mereka,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button