Berita Utama

Papan tanda Jawi: DAP, Sha Dong Zong bertindak derhaka

Sudah lama Pahang wajibkan papan tanda guna tulisan Jawi

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI, 25 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Tindakan pemimpin DAP dan Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Sarawak (Sha Dong Zong) membidas isu papan tanda Jawi di Pahang boleh dianggap sebagai perbuatan derhaka.

Hal ini kerana, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang hanya melaksanakan ketetapan diluluskan kerajaan negeri menurut titah perintah sultan yang mahu tulisan Jawi diperkasakan.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari berpendapat, isu berkenaan sepatutnya dikendali secara matang dan bijak.

“Sejak sekian lama kerajaan Pahang telah memperkasakan tulisan Jawi di seluruh negeri itu dengan mewajibkan semua papan tanda di negeri itu ditulis dengan tulisan Jawi dan bahasa Melayu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebagai orang Melayu yang tahu tentang adab, Cikgu Izzat menyifatkan perbuatan DAP dan Sha Dong Zong telah menyinggung hati dan perasaan ramai pihak.

Justeru, katanya lagi, tidak boleh dipersalahkan sekiranya ada orang Melayu tidak mampu memaafkan tindakan mereka yang menyanggah titah perintah seorang raja yang merupakan payung perpaduan sebuah negeri.

“Kita yakin orang Melayu sendiri tidak berani untuk melanggar saranan sultan. Semakin melampau…sehingga tergamak menafikan saranan berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin terbabit supaya lebih berhat-hati selepas ini dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

Beliau berkata, sekiranya perkara sama berlaku lagi selepas ini, pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa kes ke muka pengadilan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button