Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Perpaduan negara takkan tercapai selagi ramai tak fasih bahasa Melayu

Pelajar sekolah vernakular patut diserap ke sekolah kebangsaan

BANGI, 25 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Pelan Perpaduan Negara tidak akan mencapai matlamat jika hanya sekadar melaksanakan program, tetapi tidak menyelesaikan perkara asas yang menjadi tunjang utama. 

Atas sebab itu, pemimpin-pemimpin kaum perlu ‘ikhlas’ dan bersungguh ke arah usaha berkenaan selari aspirasi pemimpin terdahulu dan awal kemerdekaan. 

Paling penting, mereka perlu faham perpaduan negara hendaklah berteraskan kepada bangsa Melayu, termasuk beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Presiden Pertubuhan Gerakan Qiam (QIAM), Datuk Sirajuddin Salleh berkata, bahasa dan budaya Melayu hendaklah diterima dan dianuti oleh semua kaum di negara ini. 

“Hari ini tanyalah pemimpin-pemimpin kaum ini apakah mereka benar-benar mahukan perpaduan negara?

“Mahukah utamakan teras perpaduan kepada bangsa Melayu? Ataupun mereka lebih bersungguh-sungguh memajukan bahasa dan budaya kaum sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan harus lihat masih ramai lagi rakyat kelahiran selepas merdeka yang tidak tahu bahasa Melayu.

“Selagi tidak ada jawapan ya yang tulus ikhlas dari ketua-ketua kaum ini, QIAM khuatir perpaduan negara tidak akan tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas Pelan Tindakan Perpaduan Negara yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

Walaupun menghargai usaha kerajaan itu, namun Sirajuddin menyifatkan semua dasar dan program perpaduan sejak dahulu lagi ibarat usaha merawat dan menjernihkan air di kuala sungai.

“Selagi air yang mengalir dari hulu itu keroh dan kotor, selagi itulah air di kuala sungai kekal keroh dan kotor dan tidak dapat dijernihkan.

“Ini bermakna, selagi generasi baru yang masuk ke dalam masyarakat pada setiap tahun itu tidak disemaikan dengan jiwa perpaduan, selagi itulah perpaduan negara sebenar tidak akan wujud,” katanya.

Beliau berkata, jika kerajaan mahukan ‘Keluarga Malaysia’ yang bersatu padu, generasi muda seawal tadika, sekolah rendah dan menengah perlu dipasak dengan unsur-unsur perpaduan sejati.

Realiti semua sekolah vernakular yang mengeluarkan ribuan pelajar terasing daripada pelajar-pelajar Melayu hendaklah diserap ke dalam sekolah kebangsaan.

“Di bawah sistem satu aliran kebangsaan ini, semua kanak-kanak Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban dan lain-lain bergaul dan belajar bersama sekurang-kurangnya selama 12 tahun dengan kurikulum sama.

“Dengan cara ini sahajalah, pada setiap tahun kita akan mendapat golongan generasi baru yang bersatu bak air dari hulu sungai yang jernih dan bersih,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button