Berita Utama

Pfizer usaha wujud vaksin khusus perangi Omicron

Vaksin sedia ada ‘kurang melindungi’: Bourla

NEW YORK, 25 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Pfizer sudah mula mengusahakan vaksin COVID-19 yang khusus menyasarkan varian Omicron baharu sekiranya inokulasi semasa tidak berkesan terhadap strain terbaharu, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Albert Bourla.

Bourla memberitahu CNBC bahawa syarikat itu pada hari Jumaat mula menguji vaksin semasa terhadap varian Omicron, yang pertama kali dilaporkan di Afrika Selatan dan telah mencetuskan semula kebimbangan terhadap gelombang global jangkitan COVID-19.

“Saya tidak fikir hasilnya akan menunjukkan vaksin sedia ada tidak memberi perlindungan. Tetapi ujian itu boleh menunjukkan bahawa vaksin sedia ada ‘kurang melindungi,’ yang bermaksud kita perlu mencipta vaksin baharu,” kata Bourla.

Johnson & Johnson juga berkata pada hari Isnin bahawa ia mengusahakan vaksin varian khusus Omicron dan akan mengeluarkannya mengikut keperluan.

Pada hari Jumaat, Moderna, satu lagi pengeluar vaksin COVID-19 terkemuka berkata, ia sedang membangunkan suntikan penggalak terhadap varian baharu itu.

Bourla menyamakan keadaan itu dengan senario awal tahun ini apabila Pfizer dan rakan kongsi Jermannya BioNTech membangunkan vaksin dalam 95 hari apabila terdapat kebimbangan formula sebelumnya tidak akan berfungsi terhadap Delta, walaupun versi itu akhirnya tidak digunakan.

Vaksin semasa adalah ‘sangat berkesan’ terhadap Delta, kata eksekutif itu, sambil menambah bahawa syarikat menjangkakan dapat menghasilkan empat bilion dos vaksin pada 2022.

Pada Isnin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa varian COVID-19 Omicron baharu menimbulkan risiko ‘sangat tinggi’ di seluruh dunia.

Bourla berkata, beliau juga sangat yakin bahawa pil antivirus Pfizer yang diumumkan baru-baru ini akan berfungsi sebagai rawatan untuk jangkitan disebabkan oleh mutasi, termasuk Omicron.

Dalam kalangan pesakit yang baru dijangkiti, berisiko tinggi yang dirawat dalam tempoh tiga hari dari permulaan simptom, pil Pfizer telah mengurangkan kemasukan ke hospital atau kematian hampir 90 peratus. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button