Berita Utama

PRN Sarawak jadi pengukur prestasi PAS menjelang PRU15

Bukan untuk tentang GPS tetapi lebih kepada ukur gerak kerja PAS

BANGI, 25 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Keputusan PAS bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 adalah untuk dijadikan medan pengukur gerak kerja jentera PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, keputusan PAS bertanding dalam PRN Sarawak bukan untuk menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS), tetapi lebih kepada mengukur gerak kerja PAS.

“Ukuran politik ialah pilihan raya. Kalau tidak masuk pilihan raya, (bagaimana) kita nak ukur gerak kerja, penerimaan masyarakat dan kesediaan berdepan norma baharu. Jumlah kerusi masih diteliti tetapi tidak besar seperti PRN Sarawak sebelum ini yang berjumlah 11 kerusi, mungkin beberapa kerusi sahaja,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Denai Sungai Langat di bawah program Denai Sungai Kebangsaan di Bangi, Selangor pada Selasa.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak, dan hari penamaan calon pada 6 Disember, manakala hari pengundian awal pada 14 Disember.  – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button