Berita Utama

Teguran PM: Agungkan bahasa Inggeris pemikiran yang terjajah

Mula dengan tukar nama tempat ke bahasa Melayu jika PM, kerajaan serius

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 25 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu perlu diambil serius.

Naib Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Soufi Anual berkata, pihaknya sudah sekian lama memperjuangkan isu ini dengan mengerakkan kempen ‘Kembalikan Nama Asal Bukit Melaka, menghapuskan jejak penjajah’ semasa kempen kemerdekaan 2019 dan banyak lagi.

Bagaimanapun, ia terhenti seketika sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ekoran pandemik COVID-19.

Tidak berakhir di situ, beliau menegaskan, pihaknya mempunyai perancangan untuk kembali meneruskan perjuangan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu di negara ini sekali gus menyambut saranan dan teguran Perdana Menteri.

Soufi berkata, kelaziman banyak pihak yang menggunakan bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek dan produk mereka adalah sesuatu yang perlu diubah.

“Pola pemikiran sekarang memang orang nampak bila guna bahasa Inggeris nampak lebih gah.

“Sebenarnya tidak betul pemikiran begini. Sebab pemikiran begini ialah pemikiran yang terjajah, pemikiran yang masih belum merdeka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Walhal, katanya, dalam bahasa Melayu sendiri terdapat perkataan yang lebih gah dan menarik jika pandai digunakan.

“Sebagai contoh bandar Denai Alam menggunakan perkataan bahasa Melayu, dan kawasan membangun baharu di utara Shah Alam. Cantik sahaja namanya. Bahkan orang berebut-berebut beli rumah di kawasan sana.

“Kuala Lumpur pula, kalau diikutkan secara harfiah, lumpur ini sinonim dengan kotor, busuk, perlu dibersihkan. Tetapi hari ini di Malaysia, bila sebut sahaja duduk di Kuala Lumpur, maka akan datang rasa gah sebab Kuala Lumpur sebuah kota metropolitan,” katanya.

Justeru, pihaknya menyeru kepada agensi kerajaan serta pihak lain yang disebut oleh Perdana Menteri untuk menyambut saranannya terlebih dahulu.

Katanya, antara yang pertama boleh dilakukan adalah menukarkan nama-nama tempat yang menggunakan nama penjajah kepada nama asalnya dalam bahasa Melayu.

“Kemudian minta kerajaan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT), kuatkuasakan nama-nama taman perumahan atau bandar baharu juga wajib guna bahasa Melayu sebagai nama rasmi.

“Contohnya Port Dickson di Negeri Sembilan, Slim River di Perak, Georgetown dan Butterworth di Pulau Pinang, Cameron Highlands dan Genting Highlands di Pahang.

“Kalau kerajaan dan PM benar-benar serius nak perkasakan bahasa Melayu, inilah masanya. Tukar nama-nama tempat ini dahulu,” katanya.

Pada masa sama, Soufi turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berucap sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada persidangan antarabangsa di Scotland. 

“Kami sangat menyanjung tinggi Tuan Ibrahim Tuan Man yang berbahasa Melayu di pentas antarabngsa tempoh hari. Satu tindakan yang wajar dipuji. Beliau bukanlah tak reti ‘speaking’ bahasa Inggeris, tapi beliau memilih untuk memartabatkan bahasa Melayu. Mantap!,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button