Berita Utama

Munajat kepada Allah dan reda suami tips kejayaan Dr Suriani

Kembali bergiat aktif bidang kemasyarakatan dan dakwah

BANGI, 26 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Tarikh 1 Disember 2021 menjadi detik paling indah bagi Dr Suriani Sudi selepas perjuangan selama enam tahun menggenggam ijazah falsafah (PhD) dalam bidang Islamiyyat akhirnya menjadi realiti.

Namun bagi Pensyarah dan juga Ketua Jabatan Al Quran dan Sunnah dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), kejayaan yang diterima hari ini tidak membuahkan hasil sekiranya tidak mendapat reda suami tercinta, Ustaz Wan Hisham Wan Embong dan doa daripada ibunya.

“Namun sayang, ibu tidak dapat melihat kejayaan yang saya capai selepas pergi selama-lamanya kurang sebulan sebelum pembentangan viva PhD pada 2019, namun reda kerana doa ibu selama ini menjadikan saya berada di pentas, hari ini.

“Bukan itu sahaja, kejayaan ini juga saya dedikasikan untuk suami yang memberi restu dan dorongan dalam menyiapkan kajian, selain turut membantu kerja-kerja rumah,” katanya yang juga Ketua Wanita gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Kongsinya, ibu dan suami adalah individu penting sehingga beliau berjaya hari ini, malah sepanjang menghabiskan pengajian PhD, wanita cekal berusia 50 tahun itu menguruskan ibunya yang diserang strok.

Namun akui wanita Kelahiran Batu Pahat, Johor ini, reda suami yang membenarkan ibu untuk tinggal bersama-sama, menjadikan halangan yang dilalui sepanjang menghabiskan pengajian begitu mudah dan tenang.

Ibu kepada enam cahaya mata ini mengakui, sepanjang tempoh itu, dia terpaksa membahagikan masa menguruskan empat perkara penting dalam kehidupan seharian serentak, iaitu tanggungjawab isteri dan ibu, menguruskan ibu yang uzur, kerjaya dan juga pengajian PhD.

“Saya serahkan kepada Allah, sepanjang tempoh itu saya banyak bermunajat dan mendekatkan diri kepada Allah,” katanya yang sentiasa mengamalkan solat sunat Tahajud dan sedekah setiap hari.

Malah, Dr Suriani yang dikurniakan Anugerah khas, Exco Kerajaan Negeri Selangor itu mengakui solat sunat Tahajud adalah rakan karibnya dan menjadikan tempat dia meluahkan perasan.

Setiap hari, kongsi Dr Suriani, dia akan bangun seawal 3 atau 4 pagi untuk menulis sebelum bergegas meneruskan tanggungjawab di pejabat.

“Sepanjang lima hari bekerja saya memang tetapkan hari-hari tertentu untuk menyiapkan kerja-kerja penulisan kajian, manakala  hari-hari lain fokus untuk mengajar di kuliah.

“Memang tidak nafikan, waktu sangat suntuk, namun bila niat ikhlas dan kita serahkan segalanya kepada sang Pencipta, pasti ia berlalu dengan mudah,” katanya yang sentiasa mengamalkan zikir Ya Bariq setiap hari sebelum memulakan urusan harian.

Kini selepas selesai urusan pengajian PhD, beliau tidak melepaskan peluang untuk kembali aktif meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan dan dakwah yang sudah menjadi seperti darah dagingnya sendiri.

“Sememangnya dari masa belajar di Universiti Al-Azhar lagi saya aktif dalam pergerakan NGO, namun saya kurangkan sedikit ketika mengambil keputusan untuk sambung PhD, berikutan kekangan masa selain memberi tumpuan kepada keluarga.

“Namun bukan bermakna saya terus diam, kerana aktiviti dakwah adalah tugas kita sebagai khalifah,” katanya yang berjaya menyiapkan tesis bertajuk Elemen Kecerdasan Spritual Menurut Hadis Dalam kalangan Pemimpin Persatuan Belia Islam Nasional.

Dr Suriani berkata, sejak Mac 2019 lagi, beliau sudah kembali bergiat aktif selepas pengajian PhDnya hampir selesai dan mula memberi tumpuan kepada aktiviti NGO yang banyak turun padang bersama masyarakat dan dilantik Ketua Wanita Isma.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button