Anggota Knesset kemuka RUU baharu halang guru solidariti kepada Palestin
Guru, pekerja Kementerian Pendidikan digesa ikrar tak sokong Palestin

TEL AVIV, 26 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Anggota kanan Knesset Israel, Itamar Ben Gvir mengemukakan rang undang-undang baharu yang akan menghalang guru Palestin di Baitulmaqdis yang diduduki menyatakan solidariti kepada perjuangan Palestin.
Pusat Maklumat Palestin melaporkan Saluran 7 Israel mendakwa: “Menurut undang-undang baharu, mana-mana guru yang terbukti menyokong atau membantu perjuangan Palestin akan dibuang.”
Tindakan itu kononnya bagi menyekat guru yang bekerja di sekolah yang dibiayai Kementerian Pendidikan Israel menyatakan sokongan terhadap pihak yang menentang pendudukan haram Israel.
Rang undang-undang itu termasuk ‘guru, penyelia, dan pekerja Kementerian Pendidikan mesti membuat ikrar yang jelas untuk tidak menunjukkan sebarang sokongan terhadap sebarang tindakan menentang Israel, serta organisasi yang menentang entiti itu’.
Selain itu, ia turut menghalang penerbitan sebarang propaganda dalam sekolah yang menyokong perjuangan Palestin. – Agensi