Berita Utama

MoU kerajaan-PH tidak meredakan keadaan politik negara

Pembangkang masih kekal peranan tanpa beri laluan mudah kepada kerajaan

BANGI, 8 Safar 1443H, Rabu – Tiada jaminan permeteraian memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan serta pembangkang boleh meredakan keadaan politik negara.

Ini kerana, pembangkang kekal dengan peranannya tanpa memberikan laluan mudah kepada kerajaan dalam sebarang keputusan, khususnya membabitkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 yang akan dibentangkan Oktober depan.

Atas sebab itu, persefahaman yang dimeterai adalah berbentuk MoU dan tidak ke arah Perjanjian Keyakinan & Bekalan (CSA – Confidence & Supply Agreement) – di mana lazimnya pembangkang dan kerajaan saling membantu antara satu sama lain, kata pakar geostrategik, Prof Azmi Hassan.

“Sebab itu dipanggil MoU dan tidak CSA kerana ini adalah perjanjian persefahaman apabila ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan MoU ini takkan menjanjikan pembangkang memberi laluan mudah kepada kerajaan umpamanya RUU Perbekalan yang dibentang pada Oktober nanti.

“Tidak semestinya mereka akan menyokong 100 peratus, kecuali jika cadangan atau ahli mereka ada dalam pembentukan bajet umpamanya. Adakah ia meredakan politik negara? Hakikatnya ia tidak meredakan kerana bagi saya pembangkang akan membangkang apa keputusan yang dibuat dalam bajet dan perkara ini merumitkan RUU Perbekalan,” katanya dalam Agenda Pertiwi, malam tadi.

Pada masa sama, Prof Azmi turut menolak takrifan bahawa persefahaman yang dimeterai pada Isnin lalu itu adalah satu bentuk jajaran baharu demi kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau menganggap persefahaman itu hanyalah bersifat sementara sehingga satu tempoh yang telah dipersetujui bersama iaitu pada Julai tahun depan, apabila tamat persidangan Parlimen ke-15.

“Tujuan hasratnya (MoU) adalah untuk menurunkan suhu kepanasan politik dan sebagai wadah pembangkang bersama kerajaan menangani pandemik. Ia hanya boleh dikatakan sebagai jajaran baharu politik, tetapi bukan kerjasama politik. 

“Ini hanyalah kerjasama untuk menangani pandemik dan merancakkan ekonomi. Hasrat itu baik dan kita tunggu serta lihat apa yang akan berlaku. Tindakan itu akan menentukan keikhlasan mereka, apakah untuk manfaat rakyat atau ahli politik,” katanya.

Katanya lagi, mana-mana pihak sama ada kerajaan atau pembangkang tidak mempunyai kestabilan untuk PRU15, dan hanya rakyat ketika ini yang dilihat mampu menjadi ‘king maker’ untuk membuat keputusan.

“Dalam keadaan sekarang rakyat menagih kematangan ahli politik kita. Mereka boleh menilai, apatah lagi kerajaan mempunyai majoriti tipis sementara pembangkang juga kucar-kacir.

“Oleh itu, rakyat menilai kalau dikatakan kehakisan kepercayaan orang-orang politik begitu rendah sekali, jika mereka bermain percaturan untuk kepentingan diri sendiri, maka rakyat akan menghukum mereka,” katanya.

Berdasarkan butiran MoU itu, ia berkuat kuasa dari tarikh perjanjian dimeterai pada Isnin sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14.

MoU itu antara lain memperincikan enam transformasi utama Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

MoU ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan disaksikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; dan empat wakil PH, iaitu Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu; serta Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button