Berita Utama

Keputusan kos haji diputuskan Januari depan

Lembaga TH beri taklimat kepada menteri minggu depan

KUALA LUMPUR, 26 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Keputusan kos haji bagi musim 1443H/2022M akan diputuskan Kabinet selewat-lewatnya Januari depan.

Ia akan menentukan sama ada kos melaksanakan ibadah itu kekal atau akan naik susulan peningkatan kos Cukai Nilai Tambah (VAT) yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) dijadualkan akan memberikan taklimat berhubung isu itu kepada beliau minggu hadapan.

“Saya akan bawakan perincian taklimat TH itu ke mesyuarat Jemaah Menteri bagi capai keputusan muktamad.

“Dijangkakan, selewat-lewatnya bulan depan (Januari) Kabinet akan beri keputusan muktamad sama ada kos haji musim depan akan naik atau kekal,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kos dijangka meningkat kepada lebih RM30,000 berbanding RM23,000 sebelum ini susulan peningkatan VAT.

Peningkatan kos juga, katanya, sebahagian besarnya berkait rapat dengan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang perlu dipatuhi termasuk penjarakan fizikal seperti had kapasiti bilik hotel dan bas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button