Berita Utama

Kerajaan diminta kuat kuasa undang-undang martabat bahasa Melayu

Rakyat bangga jika pemimpin guna bahasa Melayu di semua platform

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 26 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Apalah nasib bahasa Melayu sehingga Perdana Menteri terpaksa menegur agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta gara-gara lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris. 

Walhal, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang menjadi tonggak perpaduan negara.

Ketua Wanita BERJASA Johor, Azizah Che Awang berkata, tidak salah menguasai bahasa Inggeris dan bahasa lain tetapi penggunaannya hendaklah mengikut keperluan dan kesesuaian. 

“Perlu dingat bahasa Melayu adalah lambang kedaulatan negara dan jati diri bangsa.

“Manakala bahasa Inggeris adalah bahasa perhubungan luar dan bahasa untuk menimba ilmu pengetahuan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, Azizah berkata, dalam titah Sultan Perak, Raja Nazrin Shah ketika pelancaran buku The Malays karya Anthony Milner di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2009, baginda telah menegaskan bahawa bangsa Melayu terikat dengan adat, bersimpul bahasa dan berteraskan Agama.

“Ini jelas menunjukkan bahawa bahasa adalah tunjang jati diri bangsa. Dalam konteks bangsa Malaysia, bahasa kebangsaan inilah yang menjadi akar pembinaan jati diri bangsa. 

“Kekuatannya terletak pada bahasa yang diperkaya dalam khazanah persuratan bangsa Melayu.

“Apa yang menjadi masalah ialah penguatkuasaan untuk memastikan penggunaan Bahasa Melayu dan memartabatkannya,” katanya. 

Justeru, Wanita Berjasa Negeri Johor menyeru kerajaan hari ini yang mempunyai kuasa, untuk menguatkuasakan peruntukan dan undang-undang berkaitan memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, adalah menjadi suatu kebanggaan rakyat dan teladan apabila pemimpin negara di semua peringkat kementerian dan agensi mampu menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan tepat sama ada di dalam urusan rasmi atau komunikasi antara kaum.

Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegur agensi kerajaan, swasta, serta GLC yang dilihat kurang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, sudah menjadi lumrah Bahasa Melayu kini tidak digunakan sama ada dalam persidangan, mesyuarat, nama syarikat, nama projek mahupun jenama produk mereka.

Justeru, beliau berharap selepas ini pihak berkenaan dapat menggunakan bahasa kebangsaan itu dalam segala urusan termasuk masyuarat dan persidangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button