Berita Utama

KKM senarai lapan negara dalam sekatan perjalanan

Malawi yang terkini dalam senarai susulan varian baharu dikenali Omicron

PUTRAJAYA, 26 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) menyenaraikan lapan negara dalam sekatan perjalanan sementara, dengan Malawi menjadi yang terkini dalam senarai tersebut susulan penularan varian baharu COVID-19 yang dikenali sebagai Omicron.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pada 26 Nov lepas, KKM menyenaraikan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe dalam senarai sekatan perjalanan sementara.

“Hari ini, Malawi tersenarai menjadikan jumlah negara terkini dalam senarai sekatan perjalanan adalah sebanyak lapan negara,” katanya pada sidang media perkembangan semasa varian Omicron dan COVID-19 di Malaysia, hari ini.

Beliau berkata, 20 negara sudah melaporkan pengesanan varian Omicron setakat semalam dan 203 daripada 215 kes varian itu telah dilaporkan dalam laman web Global Initiative on Sharing All Influenza Data (GISAID).

Menurut Khairy, KKM akan menyediakan senarai negara yang melaporkan kes varian Omicron atau berisiko tinggi berlaku penularan jangkitan varian baharu itu secara harian untuk diedarkan kepada Kementerian Luar; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Imigresen melalui Majlis Keselamatan Negara.

Beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada langkah-langkah kawalan serta pencegahan varian Omicron yang telah dibentang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 semalam. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button