Berita Utama

PAS Pahang anggap MN masih harmoni

Tetap dengan agenda penyatuan, elak pertembungan tiga penjuru PRU15

KUANTAN, 26 Rabiulakhir 1443H, Rabu – PAS Pahang menyifatkan Muafakat Nasional (MN) di negeri itu masih dalam keadaan harmoni dan akan terus dengan agenda memperkasakan kerjasama berkenaan.

Malah, pada masa sama, parti itu akan mempertahankan Perikatan Nasional (PN) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Rosli Abdul Jabar menegaskan, PAS Pusat juga masih kekal dengan kerangka agenda ‘Perkukuhkan MN dan Pertahankan PN’.

“Kenyataan daripada pengerusi PN Pahang bahawa gabungan parti itu akan bertanding di semua 14 kerusi Parlimen Pahang pada PRU 15 mengambil kira jika gabungan dan rundingan bersama UMNO gagal.

“PAS Pahang masih tetap dengan objektif penyatuan iaitu tidak berlakunya pertembungan tiga penjuru di PRU15 akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Usaha PAS untuk mencapai objektif PRU15 terus berjalan sehingga kini kerana tiada sebarang keputusan rasmi bahawa PAS memutuskan hubungan sama ada dengan MN atau PN.

“Begitu juga tiada keputusan rasmi berkaitan pembahagian kerusi pilihan raya dengan kedua-dua pihak.

“PAS Pahang akan terus bersabar membawa agenda penyatuan dengan tiga prinsip yang telah dijelaskan oleh Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang sewaktu Muktamar PAS Kali ke-67 dengan prinsip keadilan kepada seluruh manusia termasuk terhadap musuh.

“Dan prinsip perpaduan ummah sebagai satu keluarga besar walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama serta Islam memimpin, jadi semua perintah Allah SWT hendaklah dilaksanakan dengan sempurna, di samping menunaikan kewajipan dakwah kepada seluruh manusia yang tidak berpisah dengan politik,” katanya.

Muafakat Nasional ditubuhkan pada 14 September 2019 oleh UMNO dan PAS atas alasan mahu mengukuhkan semula kesatuan politik bangsa Melayu.

Bagaimanapun, peranan dan fungsi Muafakat Nasional kini terus menjadi persoalan dan seolah-olah dilihat seperti hilang punca.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button