Berita Utama

Mandatori! Perlu tegas kuat kuasa bahasa Melayu di majlis rasmi

Bimbang generasi muda gagal berbahasa Melayu walau lahir di Malaysia

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 27 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam majlis-majlis rasmi perlu dikuat kuasa dengan lebih tegas dalam memperkasakannya yang semakin dipinggirkan.

Tokoh budaya, Prof Madya Dr Lim Swee Tin berpandangan, pekeliling rasmi perlu segera diedarkan bagi mewajibkan penggunaan bahasa Melayu di jabatan-jabatan kerajaan.

“Hari ini ramai anak muda lebih mengagungkan bahasa asing namun perkara itu tidak ada salahnya kerana itu adalah bahasa ilmu yang digunakan di pentas antarabangsa.

“Namun dalam masa sama, kita perlu kekalkan budaya ketimuran kita dengan menggunakan bahasa Melayu dalam penggunaan harian yang sememangnya hebat dan diagungkan oleh bangsa-bangsa asing yang tahu kehebatan bahasa ibunda kita.

“Ini penting supaya bahasa kebangsaan kita tidak ditinggalkan dan pupus sekiranya golongan muda tidak meminggirkan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke atas agensi kerajaan, swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dilihat kurang menggunakan bahasa Melayu.

Prof Swee Tin dalam masa sama melahirkan rasa kecewa apabila jabatan-jabatan kerajaan hari ini tidak serius memperkasakan bahasa Melayu yang merupakan jati diri orang Melayu itu sendiri.

“Saya pelik apabila mesyuarat di jabatan kerajaan diadakan dalam bahasa Inggeris sedangkan yang hadir semuanya adalah rakyat tempatan,” katanya.

Malah, katanya lagi, lebih menyedihkan ada generasi muda yang tidak tahu untuk berbahasa Melayu walaupun lahir di negara ini.

“Kalau kita lihat di Jepun, rakyat mereka terlalu agungkan bahasa ibunda sehingga mereka tidak malu untuk menggunakan bahasa Jepun di pentas antarabangsa,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesakan rakyat Malaysia mencontohi budaya positif Jepun dalam mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu di pentas dunia.

Malah, pejuang bahasa berbangsa Cina itu berpandangan, sudah tiba masanya diwujudkan pusat-pusat bahasa dalam memberi latihan dan kemahiran mempelajari bahasa Melayu untuk komunikasi dengan betul kepada semua.

“Kita memiliki banyak kepakaran terutama guru-guru dan mereka yang bersara yang boleh berkongsi kepakaran untuk mengajar bahasa Melayu dengan tepat.

“Bukan itu sahaja, warga asing yang membanjiri negara juga perlu diberi peluang sama untuk mempelajari bahasa Melayu dengan tepat,” ujarnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button