Tular mesej askar dibuli, Hishammuddin minta pengadu hubunginya
Beri jaminan teliti kes dan tindakan tegas akan dikenakan

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 27 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta individu di sebalik mesej tular mengenai kes buli yang berlaku dalam kalangan askar menghubung beliau segera.
Beliau memberi jaminan akan menyelesaikan perkara berkenaan secara baik, malah sama sekali tidak akan mendedahkan identiti pengadu.
Katanya, individu berkenaan boleh menghubunginya terus untuk memberikan maklumat terperinci berikutan tular mesej kes buli di sebuah kem askar yang menempatkan pelatih bujang.
“Mohon individu di sebalik mesej ini untuk DM butiran lebih terperinci terus kepada
saya/hubungi pejabat saya segera. Jangan risau, identiti anda akan dirahsiakan.
“Timbalan menteri juga telah diarah untuk teliti perkara ini secara peribadi. Jika sahih, tindakan tegas akan diambil,” katanya dalam status di Facebook rasmi beliau, hari ini.
Sebelum itu, tular mesej seorang pengadu resah tentang adiknya yang bertugas sebagai askar dan menjadi mangsa buli sepanjang menginap di sebuah kem bujang bersama beberapa askar kanan.
Lebih membimbangkan kongsi pengadu, adiknya sering kehabisan wang selepas dipaksa membeli keperluan sekitar 12 hingga 14 orang askar.
Dalam masa sama, pengadu turut melahirkan rasa bimbang dengan keselamatan adiknya dan tidak mahu kes buli sehingga membawa kematian seperti kes Allahyarham Zulfarhan Osman berulang.