Berita Utama

DPMM rayu kerajaan ringankan beban PMKS dan peniaga Melayu

Gesa salur bantuan termasuk tangguh sewa, tak isytihar muflis

BANGI, 27 Rabiulakhir 1443H, KhamisPeniaga Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) Bumiputera dan Melayu menggesa kerajaan terus membantu meringankan beban golongan berkenaan berikutan masalah ekonomi negara masih lagi belum stabil sepenuhnya.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abd Halim Husin berkata, ekonomi negara masih menguncup sebanyak 4.5 peratus sehingga September berbanding pertumbuhan 16.1 peratus pada suku sebelumnya.

Katanya, pelbagai bentuk bantuan boleh diberikan bagi ringankan beban termasuklah membenarkan penangguhan bayaran sewa, tidak mengusir atau mengisytiharkan muflis sekurang-kurangnya enam bulan selepas tempoh moratorium berakhir.

“Agensi boleh mengambil langkah pembekuan pembayaran atau pengecualian bayaran caj utiliti, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama enam bulan untuk sektor PMKS.

“Serta tawaran rebat oleh operator telekomunikasi untuk untuk panggilan selain penggunaan internet tanpa wayar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah, Abd Halim berpandangan, kerajaan juga dicadang melonggarkan syarat kewangan supaya lebih banyak PMKS menerima bantuan dan kemudahan kredit.

“Agensi berkaitan juga perlu menyediakan dana pusingan untuk pemulihan dan pembangunan PMKS Bumiputera.

“Ia dikendalikan secara bersama Kementerian Kewangan dan NGO Ekonomi Bumiputera sebagaimana kejayaan pelaksanaan Tabung Pemulihan Usahawan 1984-1986 yang menangani krisis ekonomi ketika itu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menghargai dan menyokong pengumuman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menangguhkan Bayaran Anggaran Cukai (CP204) dan Skim Bayaran Ansuran (CP500) bagi PMKS mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2022.

Katanya, penangguhan adalah sebahagian daripada beberapa cadangan pemulihan ekonomi disarankan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada kerajaan.

“DPMM turut mencadangkan kerajaan membantu kehidupan masyarakat seperti pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,200 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada mereka berpendapatan RM5,000 dan ke bawah.

“Bantuan ini seharusnya dapat dinikmati bersama sektor ekonomi tidak formal termasuk pertanian,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button